BCCK meraih dua anugerah pada Anugerah rAWr 2017
KUCHING: Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) berjaya meraih dua anugerah pada Anugerah rAWr 2017 – Anugerah Kecemerlangan Acara Perniagaan Malaysia di Kuala Lumpur pada 9 November.
Anugerah diterima adalah Anugerah Kecemerlangan Persidangan Antarabangsa (di bawah 1,000 delegasi) dan Anugerah Kecemerlangan Pusat Dibina Untuk Pameran dan Konvensyen (ruang boleh dijual dengan keluasan kasar di bawah 15,000 meter persegi).
Pengerusi Borneo Isthmus Development Sdn Bhd (BID) Datuk Raziah Mahmud-Geneid, iaitu syarikat pengurusan dilantik untuk memantau pengurusan BCCK dalam satu kenyataan semalam melahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan BCCK atas Anugerah rAWr.
“Kita amat berbesar hati atas pencapaian terkini ini,” katanya.
Raziah berkata, pengiktirafan diterima Anugerah Kecemerlangan Pusat Dibina Untuk Pameran dan Konvensyen buat kali kedua, mencerminkan usaha gigih pasukan BCCK untuk terus memastikan kejayaan acara, menerusi profesionalisme yang konsisten, amalan baik dan inovasi.
Manakala Anugerah Kecemerlangan Persidangan Antarabangsa pula katanya, membuktikan Kuching dapat membangun sebagai destinasi untuk acara perniagaan seperti disimpulkan oleh penganjur dan maklum balas delegasi pada Kongres Tahunan Persatuan Kongres dan Konvensyen Antarabangsa (ICCA) Ke-55.
“Lembaga BID ingin melahirkan penghargaan kepada MyCEB (Biro Pameran & Konvensyen Malaysia) dan penganjur dan Persatuan Pembekal Pameran dan Konvensyen ( MACEOS) kerana mempertimbangkan dengan sewajarnya BCCK untuk menerima kedua-dua anugerah,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif BCCK Eric van Piggelen berkata, ia merupakan satu penghormatan untuk BCCK bagi menjadi sebahagian daripada usaha nasional memacu pertumbuhan industri acara perniagaan di Malaysia.
Beliau turut merakam penghargaan kepada MyCEB dan MACEOS kerana mengiktiraf usaha BCCK dan anugerah itu menggambarkan kecemerlangan pusat itu sejak ditubuhkan pada 2009.
“Saya ingin memberi penghormatan kepada pasukan kami atas dedikasi yang mantap dalam memenuhi pelbagai penanda aras yang ditetapkan untuk mencapai hasil yang diinginkan.
“Mereka telah benar-benar menepati janji yang dibuat oleh pasukan Malaysia kepada Lembaga ICCA dan telah mewakili BCCK dan Sarawak dengan bangga.
“Hospitaliti kita di Sarawak membuktikan Kuching layak sebagai destinasi model ‘second-tier’ dengan mencapai kejayaan pada cara antarabangsa.
“Dengan anugerah pering- kat kebangsaan ini, Anugerah Kecemerlangan Persidangan Antarabangsa juga merupakan pencapaian bagi pasukan Malaysia.
Beliau turut melahirkan penghargaan, mewakili Lembaga BID dan pengurusan BCCK, kepada beberapa pihak termasuk Biro Konvensyen Sarawak (SCB) atas komitmen untuk mejadikan Kuching sebagai pilihan bagi destinasi acara dalam komuniti acara perniagaan, selain sokongan kepada BCCK sebagai tuan rumah Kongres Tahunan ICCA Ke-55.
“Kita juga ingin merekodkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak termasuk pihak berkuasa tempatan dan pihak berkaitan atas sokongan berterusan,” katanya.
BCCK pernah memenangi Anugerah Kecemerlangan Pusat Dibina Untuk Pameran dan Konvensyen pada 2015.
Antara kriteria melayakkan BCCK adalah persijilan sistem pengurusan, HACCP dan persijilan halal, inovasi tambah nilai, penilaian dan kepuasan pelanggan yang konsisten untuk setiap peristiwa dan sebagainya.