Kuching bakal menjadi bandar raya pertama miliki bas dikuasakan hidrogen
MELAKA: Kuching akan menjadi bandar raya pertama di negara ini mempunyai bas dikuasakan oleh hidrogen apabila tiga kenderaan berkenaan tiba dari China menjelang Julai tahun depan, sebagai sebahagian daripada program pembangunan dan penyelidikan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk program penyelidikan yang akan dijalankan oleh SEB di bawah Unit Penyelidikan Hidrogen seperti diumumkan beliau baru-baru ini.
Peruntukan penyelidikan itu juga akan merangkumi penubuhan loji dengan kepakaran asing bagi menghasilkan gas hidrogen untuk menggerakkan bas tersebut, katanya.
Beliau membuat pengumuman itu dalam ucapan ketika menyempurnakan program pemukiman selama tiga hari bagi ketuaketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.
Abang Johari berkata, pembelian bas pelepasan sifar asap itu merupakan sebahagian daripada rancangan jangka panjang bagi memastikan sistem pengangkutan jalan awam di Sarawak menggunakan tenaga bersih selari dengan trend seluruh dunia untuk melindungi alam sekitar.
Ketua Menteri sebelum ini memberitahu, sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang dicadangkan menghubungkan Kuching dengan Serian, Samarahan dan Damai juga akan dikuasakan oleh hidrogen.
Bas hidrogen akan ditempatkan kepada agensi-agensi termasuk sebuah untuk pelancongan, sebagai strategi untuk menarik pelancong dengan imej tenaga persekitaran yang mesra alam dan bersih di Kuching, katanya kepada 170 peserta.
Dengan gambaran sedemikian, beliau percaya bahawa ibu negeri Sarawak akan mempunyai faktor tarikan pelancong yang kuat untuk membolehkannya menjadi pintu masuk pelancongan seperti Melaka.
Walaupun sebuah negeri kecil, Melaka telah berkhidmat sebagai pintu masuk bagi pelawat dari pelbagai bahagian Asia sebelum ke bahagian lain di Semenanjung Malaysia, katanya.
Begitu juga katanya, kawasan Kuching dan kawasan Serian perlu dibangunkan untuk menjadi hab pelancongan atau kawasan utama untuk menarik pelancong sebelum mereka melawat bahagian lain di Sarawak.
Beliau berkata sejajar dengan peralihan semasa ke arah industri mesra alam, Sarawak juga harus menilai semula pelaburan asing yang cenderung untuk membawa masuk industri mengeluarkan bahan pencemar.
Tambah beliau, walaupun rekod pelaburan langsung asing (FDI) negeri mungkin kelihatan baik dengan menerima industri berat, Sarawak perlu menanggung akibat jika industri mencemarkan alam sekitar.
Abang Johari yang diiringi isterinya, Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang kemudian menghadiri majlis makan malam sebagai tanda penutupan program tersebut.
Hadir sama, Menteri Besar Melaka Datuk Seri Utama Idris Haron, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta isteri masing-masing.