K’jaan sentiasa komited bantu institusi pendidikan lahir modal insan kompeten
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan negeri sentiasa komited membantu institusi pendidikan di Sarawak melahirkan modal insan yang kompeten dan memenuhi keperluan industri. Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, antara langkah yang diambil ialah mewujudkan latihan kemahiran yang relevan kepada pelajar.
Katanya kerajaan negeri turut membantu pihak institusi pendidikan dalam menyediakan program yang komprehensif untuk pelajar agar mereka dapat memenuhi kehendak industri.
“Kita serius membantu para pelajar untuk berjaya dan menjadi graduan yang kompeten dan memenuhi kehendak industri.
“Sebab itulah pelbagai usaha dan program termasuk latihan disediakan kepada para pelajar untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu kemahiran yang dikehendaki industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran # Innovate Sarawak, Cabaran Reka Bentuk 2018 di Dewan Syarahan, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.
Manyin menambah dalam mendukung usaha tersebut, kerajaan negeri bersama Kementerian Pendidikan Tinggi menganjurkan #Innovate Sarawak, Cabaran Reka Bentuk 2018 di bawah Inovasi Malaysia, Edisi Khas Sarawak.
Inisiatif itu dianjurkan bersama UNIMAS, Tabung Gagasan Ekonomi Bumiputera Sarawak ( TEGAS) dan Dream Cather bersama rakan-rakan industri lain.
Pada masa sama beliau berkata untuk memenuhi kehendak pasaran pekerjaan, para pelajar perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran termasuk mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik.
“Dengan kemahiran berkomunikasi yang baik, anda akan dapat meyakinkan majikan untuk mengambil anda sebagai pekerja mereka,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor UNIMAS Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman dan tetamu kehormat lain.