MIDA sambut baik penglibatan OEM dan firma Tier 1 ke dalam sektor aeroangkasa
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengalualukan lebih banyak penglibatan pembekal komponen tulen (OEM) dan firma-firma Tier 1 ke dalam industri aeroangkasa, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud.
Sektor aeroangkasa di Malaysia mempunyai peluang yang terbentang luas serta telah dikenalpasti sebagai industri strategik di bawah Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia dan Rancangan Malaysia ke-11.
“Oleh itu, MIDA mengalualukan lebih banyak peng- libatan OEM dan syarikat Tier 1 dalam industri tersebut. Bagi membangunkan industri aeroangkasa, kita perlu mewujudkan sebuah ekosistem yang kukuh yang diterajui oleh syarikat-syarikat penerbangan utama,” katanya pada majlis penyampaian perumah kipas pertama yang dikeluarkan oleh anak syarikat UMW Holdings Bhd, UMW Aerospace Sdn Bhd, di Serendah, Selangor untuk firma Roll-Royce.
Beliau berkata UMW Aerospace mahu mencapai kapasiti penuh dalam pengeluaran iaitu sebanyak 250 buah perumah menjelang 2020.
Pengeluaran perumah kipas enjin, yang menjadi salah satu daripada komponen terbesar dan paling kompleks, akan membawa kesan-kesan limpahan, kata Azman.
“Kami amat teruja bahawa projek ini akan menyediakan 166 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Malaysia, di mana tenaga kerja tempatan akan dapat memasuki ke dalam bidang pembuatan bernilai tinggi merangkumi kejuruteraan ketepatan serta pemasangan komponen aeroangkasa,” katanya.
Sekarang ini, Malaysia menaungi 66 syarikat yang terlibat dalam aktiviti peny- enggaraan, pembaikan dan baikpulih (MRO), sebanyak 33 dalam pembuatan aeroangkasa, 25 dalam pendidikan serta latihan, 11 dalam sistem dan integrasi termasuk kejuruteraan dan reka bentuk.
Sebagai tambahan kepada UMW, peneraju tempatan seperti SME Aerospace, CTRM Aero Composite, Sepang Aircraft Engineering, Airod dan Malaysia Aerospace Engineering telah membuktikan keupayaan mereka dalam memenuhi permintaan OEM yang agak ketat dan sekali gus berjaya terlibat dalam rantaian bekalan global. — Bernama