Pihak berdaftar GST di Sabah belum serahkan hampir 3,000 penyata GST-03
KOTA KINABALU: Sebanyak 2,935 penyata GST-03 masih belum diserahkan oleh pihak berdaftar dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Sabah setakat Oktober lepas, kata Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah Datuk Hamzah Sundang.
Beliau berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 89,791 penyata GST-03 yang perlu diserahkan kepada jabatan berkenaan.
“Sementara itu, sebanyak 3,587 bilangan penyata pula diserahkan di luar tempoh ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Duta GST peringkat Sabah di Wisma Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI) di sini, semalam.
Turut hadir Presiden KKCCCI Datuk Michael Lui Yen Sang.
Dalam perkembangan yang sama, Hamzah berkata, program Duta GST itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan pihak berdaftar dengan GST mengenai kewajipan mengeluarkan invois cukai, penyimpanan rekod, pengikraran Penyata GST-03 yang betul, penyerahan penyata GST dan pembayaran cukai mengikut tempoh ditetapkan.
Beliau berkata, pendekatan itu mengikut dasar baharu JKDM iaitu pematuhan bermaklumat dan menyediakan pegawai kastam di persatuan perniagaan atau dewan perniagaan, bertujuan membantu ahli perniagaan dalam urusan GST.
“Dengan ini, ahli perniagaan boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenai GST tanpa perlu hadir di pejabat kastam.
“JKDM Sabah berharap program ini dapat meminimumkan jurang kefahaman ahli perniagaan mengenai GST, mengurangkan kesilapan dibuat dan meningkatkan tahap pematuhan pihak berdaftar dengan GST,” katanya, dan menambah, terdapat 24,610 pihak berdaftar GST di Sabah.
Sementara itu, Lui mengalu- alukan pelaksanaan program Duta GST itu dan berkata, perhubungan rapat antara komuniti perniagaan dengan jabatan kerajaan adalah mustahak bagi membincangkan dan menyelesaikan masalah dihadapi berkenaan GST sekali gus bersama-sama menjayakan dasar itu. — Bernama