Utusan Borneo (Sarawak)

Inkues EIMARace 2016: Mangsa parah di dada dan kepala

-

KUANTAN: Mahkamah Koroner semalam diberitahu mangsa tragedi Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016, Izwan Isa mengalami kecederaan teruk di bahagian dada termasuk patah 10 tulang rusuk manakala anaknya Nur Zulaikha parah di kepala.

Pegawai Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Dr Mohd Anwarfadhl­i Mohd Sulaiman, 34, berkata kecederaan yang dialami dua beranak itu konsisten akibat kemalangan jalan raya dan cukup untuk menyebabka­n kematian.

Beliau memberi keteran- gan selaku saksi ketujuh prosiding inkues yang diadakan untuk mengetahui jika terdapat elemen kecuaian atau jenayah dalam kematian Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, 5, semasa menonton EIMARace 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini pada jam 11 pagi, 25 Sept 2016.

Mengulas mengenai kecederaan yang dialami Izwan, Dr Mohd Anwarfadhl­i berkata tulang rusuk kiri yang patah melibatkan tulang rusuk pertama hingga ke-10 manakala tulang rusuk kanan yang turut patah ialah tulang rusuk kedua hingga keenam.

“Ruang dada kanan mengandung­i 1,500 mililiter (ml) darah manakala ruang dada kiri mengandung­i 300ml darah. Kedua-dua paru-paru terdapat hematoma, iaitu lebam yang teruk. Terdapat juga kesan koyakan di bahagian paru-paru kiri,” katanya.

Beliau juga berkata, kecederaan yang teruk di bahagian dada seperti kepatahan tulang rusuk boleh mengakibat­kan ruang paru-paru bocor dan mengecut.

Dr Mohd Anwarfadhl­i yang merupakan lulusan Crimea State Medical University, Ukraine menam- bah pada keadaan normal, ruang dada tidak sepatutnya mempunyai apa-apa cecair termasuk darah dan berada dalam keadaan kering.

Selain itu, beliau berkata Izwan mengalami 19 kesan kecederaan antaranya di tulang pipi, bibir, dagu, tulang belikat, abdomen, punggung selain luka suntikan akibat intervensi semasa rawatan kecemasan di hospital.

Merujuk kepada kecederaan yang dialami Nur Zulaikha, Dr Mohd Anwarfadhl­i berkata mangsa mempunyai kesan lebam di dahi, retak tulang tengkorak dan berlaku pendarahan di selaput subaraknoi­d di bahagian otak selain keadaan otak yang bengkak serta berat.

“Kecederaan di bahagian kepala yang merangkumi retak tempurung, pendarahan ventrikel dan lebam boleh menyebabka­n pembengkak­an dan herniasi otak, seterusnya menghalang aliran darah untuk sampai ke kawasan vital otak yang boleh menyebabka­n kematian,” katanya.

Dr Mohd Anwarfadhl­i yang berpengala­man menjalanka­n bedah siasat ke atas 300 kes kematian menambah Nur Zulaikha mempunyai 21 kesan kecederaan luaran antaranya di dahi, pipi, dagu, hidung, lengan, lutut, betis dan kaki.

Beliau berkata bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HTAA bermula 4.30 petang, 25 Sept 2016 atas permintaan pegawai penyiasat polis trafik Inspektor Mahd Farirul Abdul Halim.

Sementara itu, menjawab soalan peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar selaku peguam pemerhati bagi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), saksi mengesahka­n keduadua mangsa tidak meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia