Utusan Borneo (Sarawak)

Argentina masih gagal kesan kapal selam

-

BUENOS AIRES: Pekerja menggunaka­n peralatan sonar kelmarin untuk mendapatka­n fakta mengenai objek yang dijumpai 26 hari lalu selepas sebuah kapal selam Argentina hilang bersama 44 kru.

Presiden Mauricio Macri dan tentera laut menganggap kru terbabit sudah hilang secara tragis.

Namun anggota keluarga yang mahukan kepastian mendesak agar usaha mencari diteruskan sehingga kapal itu dikesan dan pertanyaan mengenai nasibnya terjawab, di sebalik beberapa harapan palsu sebelum ini.

“Sebuah objek baharu dijumpai pada kedalaman 1,000 meter dengan peralatan pencarian sinar di Atlantik Selatan dan ia sedang diteliti untuk menentukan sama ada ia adalah kapal selam itu,” kata jurucakap tentera laut Enrique Balbi kepada pemberita mengenai penemuan yang dibuat AS Atlantis.

Pihak berkuasa belum menetapkan tarikh yang membolehka­n operasi pencarian tersebut ditamatkan secara rasmi.

Hubungan terakhir tentera laut dengan ARA San Juan, kapal selam diesel-elektrik berusia 34 tahun buatan Jerman, dibuat pada 15 November lalu, ketika ia belayar di Atlantik Selatan, kira-kira 450 kilometer dari pantai.

Dalam komunikasi terakhirny­a, kapal selam itu melaporkan ia sudah mengatasi kerosakan enjin akibat litar pintas kerana air yang menyerap menerusi snorkel kapal.

Tiga jam kemudian, bunyi yang sama dengan letupan direkodkan 48 kilometer dari lokasi di mana kru memberi laporan terakhirny­a, selari dengan rancangan laluan yang sepatutnya diambil kapal selam itu untuk sampai ke pangkalann­ya di Mar del Plata, menurut angkatan tentera. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia