Utusan Borneo (Sarawak)

Kejuaraan liga hampir dalam genggaman City

-

MANCHESTER, England: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji barisan bintangnya yang ‘merendah diri’ selepas membelasah Tottenham Hotspur 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris untuk rekod 16 kemenangan berturut-turut Sabtu lepas.

City ketika ini mempunyai kelebihan 14 mata berbanding pencabar terdekat, Manchester United, selepas Ilkay Gundogan dan Kevin De Bruyne menjaringk­an gol sebelum dua gol lewat Raheem Sterling meraikan aksi cemerlang mereka.

Kejayaan luar biasa City pada separuh pertama musim sudah menjadikan saingan kejuaraan seperti hampir dalam genggaman, menyebabka­n Guardiola dan anak buahnya menerima banyak pujian musim ini.

Tetapi ketika Guardiola gembira dengan prestasi City, beliau berkata beliau lebih kagum dengan cara pasukannya bersedia untuk terus berusaha untuk berjaya di peringkat tertinggi.

“Ia adalah aksi yang baik menentang salah sebuah pasukan yang kuat, walaupun tanpa bola. Mereka mempunyai kualiti yang bagus tetapi kami bermain dengan sangat bagus untuk menang,” kata Guardiola.

“Tanpa bola, kami bermain dengan rendah diri. Prestasi Kevin De Bruyne, anda tidak dapat bayangkan betapa bagus beliau dengan bola tetapi beliau tetapi bergerak dengan baik dalam padang tanpa bola.

“Ia menjadikan keadaan lebih mudah untuk pengurus dan kelab.”

City mencipta rekod baharu Liga Perdana dengan 15 kemenangan berturut-turut apabila menewaskan Swansea City pada pertengaha­n minggu dan kini memburu rekod peribadi Guardiola dengan 19 kemenangan berturut-turut ketika membimbing Bayern Munich. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia