Utusan Borneo (Sarawak)

Dua warga Denmark cedera diserang di Gabon

-

LIBREVILLE: Dua warga Denmark cedera kelmarin dalam satu serangan di ibu negara Gabon dipercayai dilakukan sebagai balasan terhadap serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas orang Muslim, dalam kejadian yang jarang sekali berlaku di negara Afrika Tengah itu yang terselamat daripada keganasan Islamis.

Kedua- dua lelaki, yang bekerja untuk saluran National Geographic, ditikam ketika membeli- belah di sebuah pasar yang popular di kalangan pelancong, kata Menteri Pertahanan Etienne Massard, yang menambah serangan itu dipercayai bermotifka­n politik.

“Menurut testimoni pertama di tempat kejadian, penyerang, seorang lelaki Nigeria berusia 53 tahun, menjerit ‘ Allahu Akbar’ (Tuhan Maha Besar) sewaktu melakukan serangan.

“Dia ditangkap di tempat kejadian,” kata Massard.

Lelaki itu, yang sudah tinggal di Gabon selama 19 tahun, dalam kenyataan pertamanya menyebut dia bertindak untuk membalas serangan AS terhadap orang Muslim dan pengiktira­fan Baitulmaqd­is oleh Amerika sebagai ibu negara Israel.

Kedua- dua mangsa dihantar ke hospital di ibu negara Libreville, seorang daripadany­a dalam keadaan serius, kata jurucakap kerajaan Alain-Claude Bilie By Nze.

Kementeria­n Luar Denmark mengesahka­n dua warga negaranya cedera di Gabon, tanpa memberi sebarang maklumat lanjut.

Massard berkata, kerajaan menganggap serangan itu sebagai perbuatan terpencil dan berkata siasatan sudah dilancarka­n.

“Ekoran perbuatan pengecut lagi keji ini, kerajaan ingin memberi jaminan kepada rakyat bahawa Gabon tidak akan menjadi pentas serangan ke atas cara hidup kita,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.”

Gabon, bekas jajahan kecil Perancis dengan 1.8 juta penduduk, setakat ini terselamat daripada serangan Islamis yang mengucar- kacirkan negara jiran. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia