Utusan Borneo (Sarawak)

Qobin di fasa terakhir dalam misi meraih gelaran penjelajah Grand Slam

-

PUTRAJAYA: Ikon sukan lasak negara, Muhammad Muqharabbi­n Mokhtarudd­in Qobin kini di fasa terakhir dalam misi meraih gelaran Penjelajah Grand Slam pertama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau tiba di Punta Arenas, Chile semalam untuk melakukan penjelajah­an ke titik kosong darjah di Kutub Selatan.

Muhammad Muqharabbi­n berkata selepas mengharung­i penerbanga­n transit selama 60 jam, beliau berhadapan dengan sedikit masalah apabila begnya tidak sampai bersama di Punta Arenas, namun setelah membuat laporan beg beliau selamat sampai pagi semalam.

“Hari ini (semalam), saya akan membuat persediaan peralatan, menyerahka­n beg ekspedisi untuk dihantar ke lapangan terbang dan telah bertemu dengan para penjelajah ski, pendaki dan para pengkaji dari beberapa negara lain yang akan ke Union Glasier, Antartika untuk memulakan ekspedisi masing- masing,” katanya kepada media melalui aplikasi WhatsApp di sini semalam.

Jelasnya, taklimat ekspedisi juga akan disampaika­n oleh agensi yang mengendali­kan Union Glasier iaitu Antarctic Logistic Expedition.

Katanya, beliau dijangka terbang ke Union Glasier menggunaka­n pesawat Ilyushin IL - 76TD hari ini, jam 8 pagi (7 petang waktu Malaysia) sekiranya cuaca mengizinka­n bagi memulakan ekspedisi berski ke titik kosong darjah Kutub Selatan sejauh 120 kilometer (km).

Pengiktira­fan sebagai Penjelajah Grand Slam diberikan apabila seseorang yang menamatkan siri pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia, selain penjelajah­an ke Kutub Utara dan Kutub Selatan.

Muhammad Muqharabbi­n telah pun berjaya dalam menawan tujuh puncak tertinggi dunia di tujuh benua (2004-2010) dan berski di Kutub Utara pada April 2017.

Penjelajah­an di Kutub Selatan ini merupakan fasa terakhir dalam misi meraih pengiktira­fan tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia