Utusan Borneo (Sarawak)

Suspek kes bunuh dan bakar empat sekeluarga didakwa

-

KLANG: Suspek kes bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat dekat sini pada 13 Disember lepas, akan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata, pihaknya telah menghantar kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya yang kemudian mengarahka­n suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan lima pertuduhan menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangk­an kecederaan.

“Selain itu, siasatan kita juga mendapati, anak perempuan mangsa yang juga teman wanita suspek tidak terlibat dalam kes ini dan dia tidak tahu-menahu suspek (teman lelakinya) telah membunuh ibu bapa serta dua anak saudaranya,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Suspek yang merupakan Orang Kelainan Upaya pekak dan bisu, ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Pu- sat Kepong, Kuala Lumpur kira-kira jam 1 pagi 15 Dis ember lepas oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Dalam kejadian pada jam 5.50 pagi itu, empat sekeluarga dibunuh sebelum dibakar di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Mereka yang terkorban dikenali sebagai Chia Tee Nang, 73; isterinya Lim Mai Shak, 68, dan dua cucu lelaki mereka, Ryan Chia, 9 serta Chia Yuan Bin, 3. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia