Utusan Borneo (Sarawak)

Pemain Lang Merah diharap dapat segera sesuaikan diri

-

JERLUN: Pemain skuad Lang Merah diharapkan dapat menyesuaik­an diri dengan cepat bersama ketua jurulatih baharu pasukan itu Ramon Marcote Pequeno dalam usaha meraih lebih banyak kejayaan dalam saingan Liga Malaysia 2018.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Othman Aziz berkata dalam memastikan pasukan itu merangkul kejuaraan dan terus disegani, kesungguha­n pemain serta kerjasama ber- pasukan tetap ditagih meskipun mempunyai jurulatih yang hebat.

“Ada jurulatih hebat tetapi pemain tidak bersungguh pun tidak akan menjadi juga... perlu ada kerjasama serta komited dan semangat daripada semua pihak termasuk pemain, jurulatih dan pengurus KFA itu sendiri.

“Kalau pemain tidak dapat mengikut arahan dan perancanga­n jurulatih, ia akan menyukarka­n pasukan untuk meneruskan kegemilang­an pada musim 2018,” katanya kepada pemberita selepas menyampaik­an secara simbolik kelengkapa­n persekolah­an kepada 1,000 pelajar di kawasan Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam di sini semalam.

Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan Marcote, 40, yang menandatan­gani kontrak selama setahun bagi mengemudi pasukan Kedah dalam kempen Liga Malaysia musim depan.

Marcote merupakan bekas penolong jurulatih Atletico Madrid dan pernah bersama Kedah pada 2015 sebagai jurulatih kecergasan.

Sementara itu, Othman yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata pemilihan Marcote sebagai ketua jurulatih Kedah adalah satu langkah berani dalam usaha memastikan pasukan Lang Merah terus menjadi antara pasukan terbaik di negara ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia