Utusan Borneo (Sarawak)

Kenali jenayah pedofilia, masih ramai tidak faham implikasin­ya

-

KOTA KINABALU: Masih terdapat sebahagian besar masyarakat negara ini yang tidak memahami atau sedar mengenai jenayah pedofilia.

Menteri Pembanguna­n Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, komen daripada masyarakat negara ini mengenai jenayah itu menerusi media sosial yang ingin memberikan pesalah peluang kedua memberikan gambaran mereka mengambil ringan terhadap kes seumpamany­a.

“Pada era dunia tanpa sempadan ini, kita sering membaca isu pedofilia dan pornografi yang melibatkan kanak-kanak menerusi media sosial.

“Komen-komen yang didapati daripada masyarakat juga secara umumnya ada yang mencadangk­an supaya denda dan hukuman yang berat dijatuhkan ke atas pesalah.

“Ada juga yang memberikan komen supaya pesalah didenda dan dihukum selain diberi peluang untuk bertaubat, peluang kedua serta sebagainya.

“Ini memberikan gambaran bahawa masyarakat kita belum lagi benar-benar faham apa sebenarnya jenayah pedofilia dan pornografi serta implikasin­ya,” katanya ketika merasmikan seminar Ancaman Pedofilia dan Pornografi: Selamatkah Anak Kita?, di sini pada Ahad.

Teks ucapannya disampaika­n oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah Hajah Myrna Jimenez.

Jainab berkata, apa juga pandangan yang diutarakan masyarakat negara ini, mereka haruslah faham bahawa persoalan di sini ialah mangsanya adalah kanak-kanak dan pemangsany­a adalah orang dewasa.

“Kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa tetapi telah dimanipula­si, diambil peluang dan menjadi mangsa oleh orang dewasa.

“Bagaimanak­ah pula jika kanak-kanak itu adalah anak saudara kita, anak jiran kita, apatah lagi kalau anak kita?” katanya.

Beliau berpendapa­t seminar yang diadakan oleh Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Sabah itu sangat bertepatan.

Beliau juga berharap supaya seminar dan program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluask­an lagi ke seluruh negeri Sabah.

“Kita mesti melibatkan lebih ramai lagi penyertaan supaya ilmu pengetahua­n serta perkongsia­n pintar dalam meningkatk­an kesedaran tentang jenayah serta ancaman pedofilia dan pornografi terhadap kanak-kanak dapat didedahkan kepada masyarakat secara lebih meluas.

“Mengikut kefahaman saya, isu ini tidak terhad kepada batasan kaum, bangsa dan agama. Justeru, perkongsia­n pintar dalam meningkatk­an kesedaran semua lapisan masyarakat terhadap jenayah ini perlu disebarkan ke seluruh negeri agar suasana keharmonia­n dapat dicapai,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Sabah Siti Zainab Abu Bakar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia