Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga pacuan empat roda berlanggar, seorang maut

-

TAWAU: Seorang lelaki maut dalam satu insiden perlanggar­an tiga kenderaan pacuan empat roda di KM55 Jalan Tawau-Kunak, kira-kira jam 11.15 pagi Sabtu.

Difahamkan, seramai sembilan individu terlibat dalam insiden itu dengan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa terbabit, turut dinaiki oleh lima penumpang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Nor Azizulkifl­i Mansor berkata mangsa yang meninggal dunia berusia 58 tahun dan berasal dari Taman Aman Jaya, Lahad Datu.

“Mangsa turut membawa muatan penumpang yang berusia satu hingga 49 tahun dan kesemuanya mengalami kecederaan manakala salah seorang lagi tidak sedarkan diri.

“Tiga daripada penumpang terbabit adalah dari alamat yang sama dengan pemandu, manakala dua lagi penumpang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan,” katanya.

Nor Azizulkifl­i berkata pemandu bagi sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda iaitu lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai mekanik dan beralamat di Kunak, patah tulang belakang.

“Penumpangn­ya yang duduk di kerusi hadapan pula, seorang wanita berusia 22 tahun yang turut beralamat di Kunak, mengalami kecederaan tulang tangan kanan retak.

“Sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang kaunselor pihak berkuasa tempatan di Tawau, lelaki berusia 66 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mengesyaki kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu (cedera) menuju Kunak dari bandar Tawau, dipercayai memasuki laluan bertentang­an.

Nor Azizulkifl­i berkata, kemalangan ketiga-tiga kenderaan pacuan empat roda terbabit menyebabka­n mangsa (pemandu maut) meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mereka yang lain pula dihantar ke Hospital Kunak untuk menerima rawatan lanjut,” katanya sambil menambah, siasatan polis masih lagi diteruskan berhubung insiden itu.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 dan dikendalik­an oleh Pegawai Penyiasat Insp Mohd Riduan Abdullah @Mustaffa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia