Utusan Borneo (Sarawak)

32 kampung, rumah panjang di utara Sarawak terjejas akibat banjir

-

KUCHING: Sebanyak 32 kampung dan rumah panjang di kawasan utara negeri ini terjejas akibat banjir setakat jam 4 petang, semalam.

Menurut Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menerusi satu kenyataan, daripada jumlah itu kawasan paling banyak terjejas daerah Subis iaitu di Sungai Saeh Niah.

Sebanyak 14 rumah panjang di Sungai Saeh Niah terjejas akibat banjir dengan dianggarka­n melibatkan 308 pintu.

Selain di Sungai Saeh, Niah empat kampung serta rumah melibatkan 137 pintu di daerah Subis turut terjejas akibat banjir iaitu Kampung Bulau, Kampung Sinop, Kampung Hunai, Rumah Webster Rangkong, Kampung Dagang dan Rumah Dagang.

Sementara itu di Bintulu ia melibatkan empat kawasan terjejas iaitu Kampung Hilir Kuala Nyalau, Kampung Hulu Kuala Nyalau, SK Kampung Kuala Nyalau dan Klinik Kampung Kuala Nyalau.

Di Marudi antara kawasan terjejas banjir Kampung Narum melibatkan sembilan rumah, Rumah Ngelingkon­g Teraja (42 pintu), Kampung Lubok Amam (tujuh pintu) dan Rumah Assam Sungai Pedada (13 pintu).

Manakalan Jabatan Pendidikan Negeri melaporkan terdapat 14 sekolah terjejas akibat banjir setakat jam 4 petang semalam.

“Daripada jumlah itu, tujuh sekolah terjejas adalah di daerah Sebauh iaitu SK Kuala Sigu, SK Hermanus Assan, SK Pandan, SK Bukit Mawang, SK Kuala Kebulu, SK Kuala Binyo dan SK Labang.

“Manakala tujuh lagi melibatkan SK Ukong, SK Kuala Awang dan SK Lubok Tekurok masing-masing di daerah Limbang manakala SK Uma Sambop di Belaga, SK Kuala Kenyana (Mukah), SK Rumah Tayai (Tatau) dan SK Nanga Sama di Kapit antara juga terjejas,” kata kenyataan itu.

Jabatan Kesihatan Negeri pula melaporkan terdapat empat Klinik Kesihatan (KK) terjejas akibat banjir dengan hanya sebuah sahaja tidak beroperasi.

Klinik yang terjejas dan tidak beroperasi melibatkan KK Uma Sambop di Kapit sementara tiga lagi klinik iaitu KK Labang di Bintulu, KK Kakus juga di Bintulu dan KK Long Teru di Miri, masih beroperasi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia