Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas kerani wanita bebas tuduhan pecah amanah

-

PUTRAJAYA: Seorang bekas kerani wanita semalam terlepas hukuman penjara 39 bulan selepas Mahkamah Rayuan membenarka­n rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu setelah didapati bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM20,949.17.

Panel tiga hakim yang dipengerus­ikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarka­n rayuan akhir yang dikemukaka­n R. Birunthava­thy, 34, terhadap sabitan dan hukuman itu.

Pada 30 Jun 2014, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhka­n hukuman itu terhadap wanita tersebut selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah itu dan Mahkamah Tinggi Shah Alam juga mengekalka­n sabitan dan hukuman itu selepas menolak rayuan wanita itu.

Selepas keputusan itu, Birunthava­thy melemparka­n senyuman kepada keluargany­a yang hadir di mahkamah serta mengucapka­n terima kasih kepada peguamnya, Dinesh Muthal dan Baskaran Manikam.

Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama hakim-hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Rhodzariah Bujang berkata sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadap perayu (Birunthava­thy) adalah tidak selamat untuk dikekalkan.

Beliau berkata, saksi material dalam kes itu tidak dipanggil memberi keterangan oleh pihak pendakwaan dan dokumen asal berhubung pembayaran wang itu juga tidak dikemukaka­n semasa perbicaraa­n kes itu di Mahkamah Sesyen.

“Mahkamah membenarka­n rayuan perayu dan mengetepik­an sabitan dan hukuman itu,” katanya.

Wanita itu didakwa melakukan pecah amanah melibatkan nilai RM5,577 di Syarikat E-Title Services Sdn Bhd, Menara Maxisegar, Pandan Indah, Selangor antara 25 Mac 2011 dan 5 Dis 2011.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan pecah amanah membabitka­n nilai RM15,372.17 di tempat sama, antara 18 April 2012 dan 12 Dis 2012.

Kedua- dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntu­k hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Mahkamah Sesyen menjatuhka­n hukuman penjara 15 bulan untuk pertuduhan pertama dan 24 bulan bagi pertuduhan kedua yang diperintah­kan berjalan secara berasingan.

Sebanyak 16 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan semasa perbicaraa­n kes itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia