Utusan Borneo (Sarawak)

Lima warga Vietnam ditahan edar dadah dalam peket minuman

-

KUALA LUMPUR: Lima warga Vietnam termasuk tiga wanita dan seorang lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki mengedar dadah dalam peket minuman yang dianggar bernilai RM57,000 di dua lokasi sekitar Lembah Klang pada Jumaat lepas.

Dalam kes pertama, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Vietnam berusia lingkungan 23 dan 54 tahun di sebuah kondominiu­m di Jalan Pria, Taman Maluri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Adnan Azizon berkata hasil penahanan suspek, polis menemukan sebuah kotak berisi 60 peket plastik kecil warna hijau bertulis ‘jus limau’ disyaki berisi serbuk ekstasi seberat 1,200 gram.

“Polis turut menemukan dua kotak putih yang berisi cecair disyaki syabu seberat 65.1 gram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Beliau berkata siasatan polis mendapati kesemua suspek mempunyai pertalian dalam sindiket mengedar dadah sintetik di pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

Adnan berkata kesemua suspek direman selama enam hari sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata kesemua dadah itu dianggarka­n bernilai RM12,000.

Susulan penahanan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam masing-masing berumur 35 dan 43 tahun itu di sebuah hotel di Kuchai Lama serta merampas dua peket ‘jus limau’ berisi dadah jenis serbuk ekstasi seberat 40 gram.

Adnan berkata hasil soal siasat terhadap suspek, polis telah menyerbu sebuah kondominiu­m di Kuchai Entreprene­urs Park dan menahan seorang lagi wanita warga Vietnam berumur 21 tahun serta merampas antaranya dua peket syabu seberat 74 gram, 500 biji pil ekstasi seberat 200 gram serta satu botol minuman kordial disyaki berisi serbuk ekstasi seberat 511 gram.

“Hasil siasatan polis mendapati suspek mempunyai pertalian dalam sindiket pengedaran syabu, ketamin dan air minuman kordial di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini dan disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menambah barang kes dianggarka­n bernilai RM45,000. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia