Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki ditahan tumbuk, ugut ibu kandung

-

PARIT: Demi mendapatka­n wang ganti rugi rumah yang telah diubah suai berjumlah RM40,000, seorang anak sanggup menumbuk serta mengugut ibu kandungnya dengan memegang sebilah parang.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata lelaki berumur 48 tahun itu bertindak demikian ketika meminta wang berkenaan di rumah ibunya di Simpang Tiga, Ulu Dedap, Kampung Gajah di sini kirakira jam 10.45 pagi kelmarin.

Beliau berkata, si ibu berusia 67 tahun mengalami bengkak di pipi kiri dan lidahnya sakit akibat ditumbuk oleh anaknya kerana gagal memberikan wang tersebut.

“Suspek meminta duit dengan memarahi ibunya biar pun wanita itu telah memberitah­u bahawa dia tidak mempunyai duit.

“Suspek juga menyuruh ibunya memberi duit sewa bendang kepadanya tetapi wanita itu memberitah­u sekiranya duit itu diberikan dia tidak mempunyai wang untuk makan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohamad Zainal berkata suspek yang merupakan anak sulung kepada mangsa turut mengambil sebilah parang dan mengugut mangsa dengan mengatakan “nyawa kome aku ambik, ingat” sebelum beredar dari rumah terbabit.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek yang bekerja sendiri dan tinggal bersama ibunya telah membuat beberapa pengubahsu­aian rumah menggunaka­n duitnya sebelum dihalau dari rumah itu selepas memarahi ibunya.

Beliau berkata, selepas kejadian itu wanita terbabit membuat laporan polis dan anaknya ditahan polis di jalan besar hadapan Balai Polis Jejawi di sini, kira-kira jam 6.30 petang hari yang sama.

“Kita turut merampas sebilah parang yang dipegang suspek semasa mengugut ibunya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad Zainal berkata lelaki itu direman empat hari mulai semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia