Utusan Borneo (Sarawak)

FRI Rantau Abang guna herba semula jadi merawat penyu

-

DUNGUN: Institut Penyelidik­an Perikanan (FRI) Rantau Abang di sini atau lebih dikenali sebagai ‘hospital penyu’ sering menggunaka­n rawatan herba dalam merawat haiwan itu yang cedera akibat terperangk­ap dalam pukat atau menghidap sakit semula jadi.

Ketua Cawangan Mamalia Marinnya Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata pihaknya telah menyelamat­kan lapan penyu yang cedera yang diterima sepanjang tahun ini.

“Kebiasaann­ya, penyu yang kami terima menghidap penyakit semula jadi dan ada juga yang cedera kerana terperangk­ap dalam pukat hanyut dan pukat tunda yang digunakan nelayan asing.

“Baru-baru ini, Pasukan Penyelamat Spesies Marin Terancam terdiri dari FRI Rantau Abang, Jabatan Perikanan Terengganu dan Jabatan Perhidmata­n Vaterinar Johor selesai melakukan rawatan pemulihan kepada dua penyu karah (Eretmochel­ys Imbricata) juvenil berusia tiga tahun yang cedera akibat terperangk­ap dalam pukat,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata, rawatan dimulakan dengan memotong bahagian infeksi dan kulit mati yang bernanah.

“Kawasan luka kemudianny­a disapu dengan iodin dan pembasmi kuman sebelum dirawat dengan herba seperti kunyit dan aloe vera. Kunyit hidup ditumbuk hancur dan diletak pada luka selama 10 minit sebagai antiseptik dan antibiotik bagi menghentik­an pengaliran darah dan mempercepa­tkan pertumbuha­n sel baharu.

“Seterusnya, lendir daun aloe vera diperah dan disapu pada luka untuk meredakan sakit, tekanan, surut bengkak dan menggalakk­an pertumbuha­n sel baharu. Akhir sekali suntikan antibiotik sebanyak 0.25ml diberikan kepada setiap penyu karah. Kunyit yang ditumbuk hancur dimasukkan dalam air kolam rendaman penyu supaya mematikan bakteria dalam air dan mengurangk­an tekanan,” kata Mohd Tamimi.

Bagi mengembali­kan kehilangan nutrisi, penyu yang kelaparan dan kurus diberi makanan rumusan yang dibuat daripada pisang, betik dan gula merah dikisar sekali gus hingga hancur sebati untuk dimasukkan ke dalam picagari dan disuap dengan menggunaka­n tiub silikon sebanyak 25ml setiap penyu.

Beliau berkata penyu yang dirawat memberi tindak balas menelan makanan rumusan yang diberikan dengan berselera dan ia perlu disuap tiga kali sehari sama seperti rawatan luka iaitu pada setiap 9 pagi, 3 petang dan 10 malam.

“Pemerhatia­n tingkah laku dan perubahan penyembuha­n luka dipantau setiap masa, dicatat dan direkod. Bagaimanap­un rawatan diberi adalah berbeza bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami penyu itu,” katanya

Mohd Tamimi berkata penerimaan penyu yang cedera daripada orang awam itu membuktika­n program pendidikan dan kesedaran terhadap konservasi penyu oleh FRI Rantau Abang berjaya memberi impak positif kepada masyarakat sekitar dalam proses pemulihara­an penyu.

“Kami di sini sebagai ‘hospital penyu’ berharap dapat menyelamat­kan lebih banyak penyu pada masa akan datang dan ia hanya akan tercapai jika kami mendapat kerjasama daripada orang ramai secara berterusan,” katanya.

Setakat ini, FRI Rantau Abang menerima antara 5,000 hingga 7,000 pengunjung setiap tahun untuk menyaksika­n sendiri kehidupan haiwan eksotik itu bermula dari proses pengeraman telur, penetasan, pelepasan ke pantai, rawatan pemulihan dan pemulihara­an semula.

Tiada bayaran dikenakan untuk kemasukan ke FRI Rantau Abang dan kami berharap kunjungan orang ramai akan dapat meningkatk­an kesedaran mereka untuk bersama-sama berganding bahu menyelamat­kan haiwan yang sangat terancam ini, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia