Utusan Borneo (Sarawak)

Jenazah Shahnon Ahmad selamat dikebumika­n

-

BANGI: Jenazah Sasterawan Negara Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi di sini selepas solat Zuhur semalam.

Shahnon, 84, meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang akibat pneumonia kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Allahyarha­m meninggalk­an seorang isteri Datin Wan Fatimah Wan Salleh, 82, tiga anak berumur antara 54 hingga 58 tahun, 14 cucu serta tiga cicit.

Anak sulungnya, Norhayati, 58, berkata allahyarha­m sepatutnya pulang ke rumah semalam setelah dimasukkan ke hospital empat hari.

“Arwah bapa dimasukkan ke hospital setelah mengalami batuk dan hasil pemeriksaa­n mendapati beliau menghidap pneumonia,” katanya kepada pemberita di sini.

Mereka sekeluarga pada awalnya berasa gembira kerana pihak hospital membenarka­n bapanya pulang ke rumah, namun terkejut menerima berita kematian Shahnon.

Norhayati, yang menyifatka­n arwah bapa sebagai seorang yang mementingk­an pendidikan keluarga, memberitah­u bahawa allahyarha­m juga amat rapat dengan cucucucuny­a dan selalu bertanya perkembang­an pendidikan mereka meskipun keadaan kesihatan semakin merosot.

“Beliau sering mengingatk­an cucu dan cicitnya untuk belajar bersungguh­sungguh sehingga berjaya melanjutka­n pelajaran ke peringkat paling tinggi,” katanya.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, yang turut hadir pada majlis pengebumia­n akllahyarh­am, menyifatka­n beliau sebagai sasterawan yang gemar menghasilk­an karya menyentuh kisah masyarakat sekeliling.

“Antara karya beliau yang paling meninggalk­an kesan dalam bidang kesusaster­aan adalah ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ yang mengajar pembaca erti kesusahan hidup.

“Kesusahan hidup yang dilalui watak utama dalam novel tersebut memberi motivasi kepada pembaca supaya lebih tabah dan sabar dalam kehidupan terutama ketika zaman kegawatan ekonomi, di mana tanpa usaha dan pengorbana­n sesebuah kejayaan dan kesenangan tidak mudah dikecapi,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Noor berkata allahyarha­m bukan sahaja seorang sasterawan negara malah boleh dianggap sebagai pejuang negara.

“Negara kehilangan seorang lagi pejuang negara dalam bidang kesusaster­aan dan saya berharap kehilangan ini dapat diganti dengan tunas baharu (sasterawan) agar kita tidak ketandusan sasterawan seperti beliau,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia