Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada alasan sepak takraw digugurkan daripada senarai sukan teras: PSM

-

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkeras mahukan Majlis Sukan Negara (MSN) kembali menyenarai­kan sukan itu sebagai sukan teras negara dan menjadi acara pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Presidenny­a, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata pihaknya tidak berhasrat membuat sebarang rayuan kerana merasakan tidak ada alasan untuk sukan berkenaan digugurkan daripada senarai 19 sukan teras kebangsaan itu.

Beliau berkata PSM mempunyai bahan dan laporan lengkap yang menyokong bahawa sukan itu masih relevan dan layak untuk mengisi senarai sukan teras negara.

“Sehingga sekarang, tidak ada satu penjelasan kukuh daripada Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) berhubung penggugura­n sepak takraw kepada PSM,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan mesyuarat khas bersama Exco PSM di Ibu pejabat PSM, di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata PSM akan mengatur perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bagi membincang­kan serta mencapai kata sepakat untuk mengatasi kemelut berkenaan.

“Kita tidak akan berbincang dengan MSN. Kita hanya akan berbincang dengan menteri (Khairy). Kita akan kemukakan semua fakta berkaitan prestasi sukan sepak takraw seterusnya biarkan menteri sendiri yang menilai dan membuat keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata atas inisiatif PSM menganjurk­an Liga Sepak Takraw (STL), kejohanan itu berjaya meraih rating lebih lima juta penonton sepanjang ia ditayangka­n secara langsung di sebuah saluran televisyen berbayar negara pada tahun ini.

“Kita sudah mempunyai begitu ramai peminat tetapi tiba-tiba sahaja sepak takraw seperti ingin ‘dilelapkan’. Kita akan bangkitkan semangat mereka semua untuk berjuang dengan kita demi mempertaha­nkan sukan ini,” katanya.

Ahmad berkata PSM mengambil alih sepak takraw pada 2003 daripada MSN dan dalam masa dua tahun, sukan berkenaan menyumbang pingat emas kepada negara menerusi acara antara regu pada Sukan SEA 2005 di Manila.

“Selepas itu, pada 2008 sepak takraw mula disenarai sebagai sukan teras…memanglah prestasi itu ada turun dan naik sehingga ke hari ini.

“Paling tidak, MSN perlu fikir satu sahaja…beri peluang sehingga Sukan Asia ta- hun depan. Kalau kami tidak berjaya di Sukan Asia barulah kita duduk berbincang untuk fikir tindakan selanjutny­a,” kata beliau.

Sementara itu, Ahmad turut mempersoal jika terdapat permainan politik dalam MSN sehingga menggugat sepak takraw dan dua sukan lain yang turut digugurkan.

“Kalau mereka nak main politik, mereka harus keluar daripada MSN dan masuk dalam kancah politik tetapi kalau mahu terus berada dalam MSN, tolong buat kerja untuk memajukan su- kan,” tegasnya.

Sebelum ini, media melaporkan Khairy mengumumka­n angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada 19 sukan teras negara di bawah program MSN bermula Sukma Perak 2018.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN yang dipengerus­ikan Khairy, berikutan prestasi merosot tiga sukan berkenaan, selain terpalit isu doping serta kemelut kepimpinan dalam persatuan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia