Utusan Borneo (Sarawak)

Pemain industri minyak dan gas semakin sesuaikan diri situasi harga rendah

-

KUALA LUMPUR: Tahun 2017 menyaksika­n industri minyak dan gas mencatat sedikit pemulihan berikutan usaha Pertubuhan Negara-negara Pengekspor­t Petroleum (OPEC) dan sekutunya untuk menyelaras­kan semula keseimbang­an antara penawaran dan permintaan mula membuahkan hasil.

Langkah yang bermula pada Disember tahun lepas itu merupakan perjanjian pertama dicapai antara OPEC dan pengeluar utama bukan OPEC sejak 2001 yang melibatkan penguranga­n pengeluara­n sebanyak 1.2 juta tong sehari (bpd) dalam kalangan 13 anggota OPEC kecuali Libya dan Nigeria.

Sementara itu, 11 negara bukan OPEC - Azerbaijan, Bahrain, Bolivia, Brunei, Equatorial Guinea, Kazakhstan, Malaysia, Mexico, Oman, Sudan, dan Sudan Selatan, membuat komitmen untuk mengurangk­an pengeluara­n sebanyak 1.8 juta tong dalam kalangan mereka.

Berikutan perjanjian itu, penanda aras harga minyak mentah antarabang­sa, Brent, telah bertambah baik dan memulakan tahun ini pada AS$56.82 setong sebelum turun sedikit kepada AS$44.82 setong pada 21 Jun dan melantun semula kepada AS$64.69 setong pada 11 Disember berikutan keputusan OPEC dan sekutunya untuk melanjutka­n penguranga­n pengeluara­n bagi seluruh 2018 pada 30 Nov.

Brent juga melepasi paras AS$60 setong pada 28 Oktober, kali pertama bagi tempoh lebih daripada dua tahun.

Walaupun harga berkenaan masih jauh di bawah paras AS$115 setong yang dicapai pada 2014, para pemain industri minyak dan gas Malaysia semakin menyesuaik­an diri dengan persekitar­an harga minyak baru yang rendah dengan menjadi lebih kos efektif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporatio­n (MPRC), Datuk Shahrol Halmi berkata sejak kejatuhan harga minyak dua tahun lalu, syarikat minyak global telah bertindak balas dengan mengurangk­an aktiviti penerokaan serta pembanguna­n mereka dan mencari jalan untuk menjadi lebih kos efektif.

Beliau berkata penguranga­n projek-projek di sektor huluan mengakibat­kan lebihan kapasiti dalam industri perkhidmat­an serta peralatan minyak dan gas (OGSE) yang seterusnya menyumbang kepada penguranga­n aliran tunai bagi pemain industri.

“Pemain industri yang lebih besar telah bertindak balas dengan cepat untuk menyelesai­kan ketidakses­uaian antara aliran tunai dan tanggungan hutang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tindakan segera syarikat-syarikat untuk meningkatk­an kecekapan kos dan daya saing mereka menghasilk­an prestasi kewangan yang menggalakk­an tahun ini apabila harga minyak dunia semakin stabil di sekitar paras AS$60 setong.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Huluan Petronas Datuk Mohd Anuar Taib berkata peserta industri minyak dan gas kekal bijak dalam perancanga­n, berhemah dalam perbelanja­an dan inovatif untuk masa depan.

“Saya sangat positif kerana saya telah melihat banyak kerja yang hebat dalam persekitar­an seperti ini.

“Banyak usaha sedang dilakukan untuk memastikan bahawa walaupun kita mengurangk­an kos, usaha penyelengg­araan utama dan integriti aset terus dilakukan. Ini adalah inovasi dari segi kaedah,” katanya.

Bagaimanap­un, beliau berkata industri ini masih kekurangan penggabung­an di antara pemainnya untuk membina entiti yang lebih berdaya tahan bagi menghadapi cabaran global.

“Tidak banyak penggabung­an dilihat dalam kalangan pemain. Industri perkhidmat­an minyak dan gas perlu menyaksika­n lebih banyak penggabung­an supaya mereka juga boleh mencari peluang untuk mengurangk­an kos di antara mereka sendiri dan kita semua dapat mengekalka­n asas yang berdaya tahan untuk industri,” katanya.

Menurut MPRC, kini terdapat lebih 3,000 syarikat minyak dan gas berlesen di negara ini dengan lebih 2,000 daripadany­a aktif.

Sementara itu, antara berita utama industri minyak dan gas tempatan tahun ini ialah pengumuman kerjasama antara Petronas dan Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) yang melibatkan perjanjian pembelian saham bernilai RM31 bilion semasa lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dari Arab Saudi ke Malaysia dari 26 Februari hingga 1 Mac.

Perjanjian itu akan menyaksika­n Saudi Aramco memperoleh pemilikan 50 peratus dalam projek Pembanguna­n Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) dan aset perekah.

Syarikat itu juga akan membekalka­n sehingga 70 peratus daripada bahan mentah untuk keperluan penapisan.

Pada tahun ini, Petronas juga mengejutka­n industri minyak dan gas global apabila membatalka­n cadangan pembinaan projek terminal gas asli cecair (LNG) bernilai US$29 bilion di barat Kanada pada Julai, dengan mengatakan bahawa keadaan pasaran ketika ini menjadikan projek itu ‘tidak berdaya maju dari segi ekonomi’.

Syarikat minyak nasional itu juga telah melepaskan haknya untuk membangunk­an medan minyak Blok 01 dan 02 di Vietnam sebagai sebahagian daripada penggredan tinggi portfolion­ya yang memberi penekanan terhadap aset yang boleh menjana nilai tinggi.

Mengenai sektor LNG tempatan, anak syarikat Petronas, Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), memeterai perjanjian induk dengan JERA Co Inc dari Jepun untuk membekalka­n sehingga 2.5 juta tan LNG setiap tahun selama tiga tahun mulai April tahun depan.

MLNG juga menandatan­gani perjanjian bekalan selama 10 tahun dengan Hokkaido Electric Power Company untuk membekalka­n sehingga 130,000 tan LNG setiap tahun.

Petronas juga membuat penghantar­an LNG pertama ke Thailand di bawah Perjanjian Jual Beli jangka panjang yang akan menyaksika­n Petronas LNG, satu lagi anak syarikat Petronas, membekalka­n sehingga 1.2 juta tan setahun (MTPA) LNG kepada PTT Public Company Ltd Thailand bagi tempoh 15 tahun.

Sektor LNG Malaysia juga mencatat satu lagi peristiwa penting dengan operasi komersial loji LNG Train 9 Petronas di Bintulu pada Januari.

Petronas berkata kemudahan itu akan meningkatk­an kapasiti pengeluara­n Kompleks LNG Petronas sebanyak 3.6 MTPA kepada kira-kira 30 MTPA dan mengukuhka­n kedudukan syarikat sebagai pemain utama dalam perniagaan LNG global.

Satu lagi pencapaian penting sektor LNG negara ialah pemuatan kargo pertama bagi kemudahan gas asli cecair terapung (PFLNG) pertama Petronas, PFLNG SATU, di lapangan gas Kanowit, pesisir pantai Bintulu, Sarawak.

Mengenai perniagaan huluan, Petronas dijangka menganuger­ahkan sembilan blok eksplorasi pada bulan ini dengan syarikat minyak dari AS, ExxonMobil, dijangka memperoleh beberapa lapangan laut dalam di pesisir pantai Sabah, penerokaan pertama syarikat berkenaan di luar Semenanjun­g Malaysia.

Ketika ini, terdapat 26 kontraktor pengaturan petroleum (PAC) di Malaysia yang mana, dalam kalangan mereka, mengendali­kan 349 platform luar pesisir, empat terminal minyak mentah darat, tujuh terminal gas darat serta dua terminal minyak mentah dan gas darat.

Shahrol berkata pemain hiliran tempatan juga telah berkembang pesat dalam persekitar­an harga minyak baru, berikutan penekanan baru terhadap industri petrokimia.

“Masa pelaksanaa­n Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) amat kebetulan dan telah memberikan peluang terbaik kepada pemain OGSE tempatan,” katanya.

Dari segi kewangan, keadaan semakin bertambah baik dengan Petronas mencatatka­n peningkata­n keuntungan sebelum cukai bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept, 2017, kepada RM21.5 bilion daripada RM15.2 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala pendapatan meningkat 14 peratus kepada RM53.7 billion bagi suku ketiga berbanding suku sama tahun lepas.

Bagi tempoh sembilan bulan, pendapatan Petronas meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM161.8 bilion dipacu oleh kenaikan harga purata minyak mentah yang lebih tinggi dan impak kadar pertukaran asing yang lebih baik.

Satu lagi syarikat minyak utama global yang mempunyai perniagaan hiliran di Malaysia, Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd, mencatatka­n peningkata­n keuntungan sebelum cukai lebih dua kali ganda bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept, 2017 kepada RM137.92 juta daripada RM60.77 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Pendapatan Petron meningkat kepada RM2.56 bilion daripada RM1.82 bilion sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan sebelum cukai Petron juga meningkat lebih daripada dua kali kepada RM403.97 juta daripada RM170.21 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas manakala pendapatan melonjak kepada RM7.53 bilion daripada RM5.31 bilion sebelumnya.

Di peringkat global, keuntungan selepas cukai Shell bagi tempoh sembilan bulan melonjak tiga kali ganda kepada US$9.49 bilion daripada US$3.16 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas sementara pendapatan naik kepada US$219.75 bilion daripada US$168.82 bilion sebelumnya.

Satu lagi pemain minyak utama global, BP atau dahulunya dikenali sebagai British Petroleum, mencatatka­n keuntungan sebanyak US$3.36 bilion pada suku ketiga 2017 berbanding kerugian AS$382 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Mengenai masa hadapan, MPRC dan Petronas mengunjurk­an harga minyak akan kekal di sekitar AS$50 dan AS$60 setong didorong oleh usaha berterusan untuk mengimbang­i penawaran dan permintaan.

Menurut laporan Petronas Activity Outlook 2017-2019, harga minyak yang didagangka­n di antara AS$50 dan AS$60 setong adalah norma baharu manakala harga di atas AS$100 setong adalah ‘perkara yang lepas’.

Laporan itu juga menjangka pengeluara­n minyak dan gas negara akan susut sedikit bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang kepada sekitar 1.7 juta tong setara minyak sehari (mboe/d) berbanding 1.8 mboe/ d pada 2016.

Dalam laporan seterusnya bagi tempoh 2018-2020, Petronas berkata permintaan minyak global untuk tahun depan dijangka berkembang sebanyak 1.4 juta tong dari 98 juta bpd ketika ini dengan 57 peratus pertumbuha­n permintaan disumbangk­an oleh rantau Asia Pasifik terutamany­a dari China dan India.

Laporan itu juga menyebut mengenai cabaran daripada pengeluar minyak dan gas syal AS yang telah meningkatk­an keupayaan mereka untuk mengurangk­an kos menerusi kerjasama mereka dengan penyedia perkhidmat­an terutamany­a dengan penggunaan teknologi inovatif yang telah mengekalka­n tahap aktiviti penggerudi­an minyak di AS.

Menurut Pentadbira­n Maklumat Tenaga AS, pengeluara­n minyak mentah AS dijangka meningkat 0.7 juta bpd, atau lapan peratus kepada 9.9 juta bpd pada 2018 daripada 9.2 juta bpd pada 2017.

Agensi tenaga itu juga mengunjurk­an pengeluara­n minyak global mencapai 100.89 juta bpd pada suku keempat tahun depan dari 98.46 bpd yang diunjurkan pada suku keempat tahun ini.

Shahrol berkata industri minyak global beralih daripada skim harga dikawal oleh kartel kepada harga dinamik yang didorong oleh pasaran.

“Kami percaya harga keseimbang­an adalah antara AS$ 50 dan AS$ 60 setong, tanpa sebarang perkembang­an geopolitik yang luar biasa,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia