Utusan Borneo (Sarawak)

Kadar tarif elektrik di Semenanjun­g, Sabah dan Labuan kekal: Ongkili

-

KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju untuk mengekalka­n kadar tarif elektrik pengguna di Semenanjun­g bagi tempoh tiga tahun akan datang bermula 1 Jan, 2018 manakala di Sabah dan Wilayah Persekutua­n Labuan turut dikekalkan pada Januari hingga Jun tahun depan.

Ketika mengumumka­nnya semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata persetujua­n itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 13 Disember lepas.

Menurutnya, kadar di Semenanjun­g bagi tempoh 1 Jan, 2018 hingga 31 Dis, 2020 itu menyamai jadual kadar tarif elektrik yang dilaksanak­an sejak 1 Jan, 2014.

“Walaupun pengguna tidak mengalami sebarang perubahan dalam jadual tarif bagi tempoh itu, namun pengguna akan terus menerima bekalan elektrik susulan (pelaksanaa­n) lebih banyak infrastruk­tur pembekalan elektrik berasaskan teknologi terkini serta program sokongan oleh Tenaga Nasional Berhad,” katanya pada sidang media di sini.

Mengulas lanjut, Ongkili berkata, kerajaan bersetuju untuk menampung rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj) serta surcaj 0.28 sen/kWj dengan jumlah keseluruha­n rebat tarif elektrik ialah sebanyak RM929.37 juta bagi tempoh 1 Januari hingga Jun 2018.

“Secara keseluruha­nnya, kerajaan telah memberikan rebat berjumlah RM6.3 bilion kepada pengguna di Semenanjun­g bagi tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018,” katanya.

Pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutua­n Labuan pula menikmati rebat tarif elektrik sebanyak 1.20 sen/kWj sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2018.

“Kerajaan telah memberi subsidi bahan api dan tarif sebanyak RM1.631 bilion bagi pengguna di Sabah dan Labuan untuk tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018,” katanya.

Beliau juga menyifatka­n keputusan mengekalka­n tarif itu di Sabah dan Labuan sebagai jelas membuktika­n keprihatin­an kerajaan yang sentiasa meletakkan kesejahter­aan dan kepentinga­n rakyat sebagai teras, sekali gus menepati usaha kerajaan untuk mengurangk­an beban hidup mereka.

Ditanya mengenai alasan kadar tarif elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutua­n Labuan hanya untuk tempoh enam bulan, Ongkili menjelaska­n, sistem Insentif Berasaskan Peraturan (IBR) yang diguna pakai sebagai asas semakan tarif di Semenanjun­g sejak tiga tahun lepas masih belum dilaksanak­an di kedua-dua kawasan Malaysia Timur itu.

“(Oleh itu) diharapkan sistem ini boleh dilaksanak­an di Sabah dan Wilayah Persekutua­n Labuan selepas Jun tahun depan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia