Tahun 2017: Perginya pemimpin idola S’wak
KUCHING: Pemergian Pehin Sri Adenan Satem semasa dalam jawatan Ketua Menteri awal Januari tahun ini adalah saat yang paling meruntun hati seluruh rakyat Sarawak apabila kehilangan seorang pemimpin ulung yang dekat di hati mereka.
Ketua Menteri kelima Sarawak itu meninggal dunia pada 11 Januari di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak akibat komplikasi jantung pada usia 72 tahun.
Semasa hayatnya, Allahyarham dengan gaya tersendiri dan bersahaja berjaya membuatkan ramai terpesona dengan aura dan keprihatinannya sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada Mac 2014.
Dalam tempoh kepimpinannya yang singkat itu, Barisan Nasional (BN) berjaya mengukuhkan lagi kedudukannya di Bumi Kenyalang apabila berjaya menawan 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas, berbanding 55 daripada 71 kerusi pada PRN 2011, menyaksikan kaum Cina kembali memberi sokongan kepada kerajaan BN Negeri.
Susulan pemergian Adenan secara tiba-tiba, tanggungjawab untuk meneruskan kecemerlangan kepimpinan BN terletak di bahu penggantinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.
Dua hari selepas pemergian Adenan, Sarawak menyaksikan peralihan tampuk kepimpinan negeri yang berlangsung dengan lancar apabila Abang Johari atau lebih mesra dengan panggilan Abang Jo mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.
Ujian pertama Abang Johari sebagai Ketua Menteri yang baharu ialah memastikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tanjung Datu yang kosong dengan pemergian Adenan dan BN Sarawak atau lebih tepat Abang Johari telah mengambil langkah meletakkan balu Adenan, Datuk Amar Jamilah Anu untuk bertanding di kawasan itu.
Percaturan bijak Abang Johari membuahkan hasil apabila keputusan PRK pada 18 Februari menyaksikan Jamilah berjaya memperoleh majoriti 6,443 undi, berbanding majoriti 5,892 undi yang diraih Adenan pada PRN lepas.
Selepas itu, Abang Johari dilihat terus gigih berusaha menyuntik idea-idea baharu yang segar untuk merancakkan pembangunan negeri dan antara inisiatif yang cukup signifikan digerakkan beliau ialah pembelian Empangan Hidroelektrik Bakun daripada kerajaan pusat.
Pemilikan Loji Hidroelektrik Bakun yang menjana 2,400 megawatt (MW) tenaga — terbesar dalam negara, direalisasikan sekitar pertengahan Ogos lepas dengan sokongan serta kepimpinan kukuh Abang Johari.
Perjanjian untuk melangsaikan pembelian Loji Hidroelektrik Bakun pada harga RM2.5 bilion dimeterai di pejabat Sarawak Hidro di Selangor dan berikutan penyempurnaan perjanjian tersebut, SEB Power Sdn Bhd – anak syarikat milik penuh Sarawak Energy – menguasai 100 peratus saham dalam Sarawak Hidro Sdn Bhd yang sebelum ini dimiliki Kementerian Kewangan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Dengan kapasiti 2,400MW, pembelian stesen tenaga hidro yang ditauliahkan sepenuhnya pada Julai 2014 yang terletak di Lembangan Sungai Rajang, kira-kira 37km dari bandar Belaga itu, menjadikan Sarawak kini bersedia untuk menjadi kuasa penting tenaga diperbaharui negara.
Abang Johari berkata beliau sendiri mengetuai delegasi Sarawak untuk berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pengambilalihan tersebut dan beliau mengaitkan kejayaan itu kepada hubungan erat antara kerajaan negeri dengan Putrajaya.
Tidak berhenti di situ, beliau terus mengorak langkah dengan mengilhamkan pula pembangunan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dalam usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri menerusi pembabitan dan pembiayaan dalam projekprojek strategik, membaik pulih sekolah daif dan meningkatkan prasarana jalur lebar.
Prasarana jalur lebar tidak syak lagi menjadi agenda utama Abang Johari untuk memacu pembangunan di Sarawak dengan lebih pesat, menerusi ekonomi digital dan ini diperkukuhkan dengan penubuhan Sarawak Multimedia Authority (SMA) atau Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak.
SMA berperanan menerajui keperluan ekonomi digital Sarawak, termasuk soal pembangunan infrastruktur digital, sekuriti siber, pembangunan kemahiran, e-commerce, pembangunan dan penyelidikan dalam teknologi digital, inovasi digital, keusahawasan dan kerajaan digital.
Tarikh 12 Mei turut menjadi tumpuan apabila Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Sarawak membuat keputusan melucutkan keanggotaan Dr Ting Tiong Choon daripada DAP sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut.
Keputusan itu dibuat selepas Dewan menerima usul dikemukakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak Dato Sri Dr Woon Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan atas alasan Dr Ting mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia.
Natijahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK N.74 Pujut pada 20 Jun manakala pengundian 4 Julai; namun tindakan pantas Dr Ting, 52, mencabar perlucutan keanggotaannya di mahkamah, membawa kepada keputusan Mahkamah TInggi Kuching mengembalikan kedudukannya sebagai ADUN pada 17 Jun lepas.
PRK yang dirancang ditangguhkan, namun kes berkenaan sehingga kini masih belum selesai apabila Peguam Negeri Sarawak memfailkan rayuan bagi pihak DUN berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu. — Bernama