Industri penerbangan Malaysia diwarnai pelbagai perkembangan sepanjang 2017
KUALA LUMPUR: Industri penerbangan Malaysia diwarnai pelbagai perkembangan menarik sepanjang 2017, dipacu terutamanya oleh kepesatan sektor pelancongan yang dibantu oleh nilai ringgit yang rendah berbanding dolar serta penyusutan harga bahan api.
Malah syarikat- syarikat penerbangan di Malaysia juga saling berlumba meningkatkan kapasiti masingmasing termasuk menerusi perubahan pucuk pimpinan serta menambah pembelian pesawat bagi mengembangkan kapasiti untuk memenuhi keperluan semasa.
Selain itu, antara pencapaian yang dilakar industri penerbangan negara tahun ini ialah kejayaan anak syarikat UMW Holdings Bhd, UMW Aerospace Sdn Bhd yang menghasilkan selongsor bilah kipas untuk enjin Trent 1000 yang menguasakan pesawat Boeing 787 Dreamliner.
Dari segi kargo udara pula, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), berkata permintaan bagi segmen itu berada pada tahap paling kukuh dalam tempoh lebih sedekad pada tahun ini yang menyaksikan lebih banyak laluan dibuka dan menguntungkan syarikat penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG), Devanesan Evanson berkata antara cabaran utama yang dihadapi oleh syarikat penerbangan di Malaysia pada tahun ini ialah peningkatan kos operasi dan persaingan sengit disebabkan oleh pengembangan kapasiti.
Bercakap kepada Bernama, Devanesan berkata prestasi syarikat penerbangan pada 2018 pula dijangka terus menjadi lebih baik dengan pelancongan kekal berkembang dan sekiranya tiada kenaikan harga bahan api yang ketara.
Bagaimanapun, beliau berkata terdapat juga kebimbangan pesawat yang berlebihan untuk memadankan pelan pertumbuhan agresif syarikat penerbangan mungkin mengakibatkan lebihan kapasiti dan menjejaskan keuntungan mereka.
Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines menerima pesawat A350900 kedua daripada enam pesawat yang tempah, pada 23 Dis, yang akan digunakan untuk rancangan pengembangannya, meningkatkan pengalaman pelanggan dan menjana pendapatan yang lebih baik.
Selain itu, pada September, Malaysia Airlines, menandatangani memorandum persefahaman di Washington D.C untuk membeli 16 pesawat, iaitu lapan 787 Dreamliners dan lapan 737 MAXs, yang akan memberi penjimatan bahan api, ekonomi serta pengalaman penumpang yang hebat.
Sementara itu, syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia juga akan menambah 22 pesawat baharu pada 2017 dan 33 pesawat yang dirancang untuk 2018, berikutan rancangan syarikat untuk meningkatkan jumlah pesawatnya kepada 500 menjelang 2027.
Dalam perkembangan lain, industri penerbangan tempatan juga menyaksikan kemunculan peserta baharu, UMW Holdings Bhd, yang keluar dari perniagaan minyak dan gas pada awal 2017.
Pada November, UMW Holdings Bhd mengumumkan anak syarikat milik penuhnya UMW Aerospace berjaya menyerahkan selongsor bilah kipas untuk enjin pesawat Rolls Royce, yang dihasilkan di kilang bernilai RM750 juta di Selangor dan menjangka dapat mencapai kapasiti pengeluaran penuh sebanyak 250 selongsor bilah kipas setahun pada 2020.
Sementara itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengkaji semula Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) untuk menyeragamkannya pada RM73, daripada RM50 pada masa ini, untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA) dan klia2, yang mungkin akan dilaksanakan mulai Januari 2018.
Kebanyakan peserta industri bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia akan mewujudkan persekitaran operasi yang adil untuk semua syarikat penerbangan dalam negara, tetapi AirAsia meminta MAVCOM mengemukakan pengiraan PSC bagi lapangan terbang secara spesifik kerana terdapat perbezaan dalam kemudahan dan perkhidmatan antara kedua-dua lapangan terbang tersebut.
Sementara itu, antara peristiwa kemuncak tahun ini adalah perubahan kepimpinan kanan di Malaysia Airlines dan AirAsia.
Kapten Izham Ismail telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ( CEO) Kumpulan, menggantikan Peter Bellew, yang memimpin syarikat penerbangan itu kurang daripada dua tahun sebelum kembali ke Ryanair.
Sebelum pelantikan tersebut, Izham adalah Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines dan telah memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelan pemulihan syarikat penerbangan itu.
Sementara itu, AirAsia juga merombak pengurusan kanannya, dengan pelantikan Riad Asmat sebagai CEO, menggantikan Aireen Omar, yang dinaikkan pangkat menjadi Timbalan CEO Kumpulan, Digital, Transformasi dan Perkhidmatan Korporat.
Sepanjang tahun ini, terdapat pelbagai perkembangan penting telah dibuat oleh syarikat penerbangan untuk bertukar menjadi syarikat penerbangan digital, untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos serta menjana aliran pendapatan tambahan daripada perkhidmatan sampingan lain.
Dalam hal ini, Malaysia Airlines telah memindahkan pusat datanya kepada 100 peratus model awan-hibrid, yang dijangkakan dapat mengurangkan kos sebanyak 51 peratus dalam tempoh lima tahun, meningkatkan produktiviti aplikasi teras sehingga 80 peratus dan keupayaan keselamatan.
Syarikat penerbangan nasional itu juga menunjukkan kesediaannya untuk menerima pendigitalan sepenuhnya dengan pelancaran Makmal Inovasi dalamannya, iSpace, yang akan menjadi landasan ujian untuk menggabungkan aspek-aspek pelbagai aspek pengalaman digital.
AirAsia juga telah ban- yak melabur dalam bidang ini, termasuk perkhidmatan ‘ e- wallet’ BIGPay, yang membolehkan pengguna menyambung sehingga 10 kad debit atau kad kredit untuk membuat pembayaran dalam ASEAN dengan kadar pertukaran asing yang lebih murah daripada yang ditawarkan oleh bank pada masa ini.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu juga sedang membangunkan sebuah aplikasi dengan teknologi pengenalan wajah yang akan memudahkan pemeriksaan penumpang, serta tag beg kekal untuk penumpangnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata tag beg itu mungkin akan menggunakan ‘ Bluetooth’ untuk mengesan maklumat lokasi dan penerbangan penumpang, serta pengenalan melalui frekuensi radio ( RFID) untuk mengesan lokasi bagasi.
Selain melabur dalam teknologi untuk meningkatkan kecekapan operasi, syarikat penerbangan itu juga telah menggabungkan e- dagang ke dalam perniagaan mereka dengan pelancaran ‘Temptations’ oleh Malaysia Airlines dan rokki.com oleh AirAsia.
Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) juga melihat e- dagang sebagai pemacu pertumbuhan masa depan KLIA.
Pengendali lapangan terbang itu telah menjalin kerjasama dengan Cainiao Smart Logistics Network ( Hong Kong) Ltd untuk membangunkan hab e-dagang dan logistik serantau di KLIA Aeropolis, yang terdiri daripada pembangunan terminal kargo, pusat pengasingan, gudang dan pusat penunaian serta kemudahan lain untuk industri e-dagang.
Projek itu akan dibina di KLIA Aeropolis yang berkeluasan 24.28 hektar dan merupakan satu komponen daripada inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).
Dari segi trafik penumpang, untuk tempoh Januari hingga November, jumlah lapangan terbang di bawah MAHB mencatatkan pertumbuhan 8.1 peratus kepada 116.25 juta penumpang daripada 107.6 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada 2016.
Pergerakan penumpang di Terminal Utama KLIA mencatatkan 25.6 juta penumpang, peningkatan 12.2 peratus manakala klia2 naik 11.6 peratus dengan 27.4 juta penumpang yang dicatatkan dalam tempoh tersebut. — Bernama