Usahawan makanan Selangor disaran pertingkat produk tembusi pasaran global
SHAH ALAM: Usahawan makanan unit simpanan stok (SKU) di Selangor disaran meningkatkan kualiti penghasilan produk masing-masing bagi membolehkan mereka dibantu untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA) Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata ini berikutan pelbagai produk SKU seperti makanan sejuk beku, biskut dan coklat mendapat permintaan tinggi di luar negara khususnya di Singapura.
Setakat ini, hanya 59 usahawan negeri itu berjaya memasarkan 207 produk SKU dalam sembilan kategori makanan di Singapura.
Sehubungan itu, FAMA Selangor menyasarkan 10 peratus daripada pengeluaran sebanyak 691 usahawan makanan yang berdaftar dengannya, akan dieksport ke republik itu pada 2018.
“Ini merupakan peluang yang harus mereka rebut. FAMA sendiri ada banyak wakil pemasaran di pelbagai negara seperti di Emiriah Arab Bersatu, Itali, United Kingdom, Amerika Syarikat.
“Jika usahawan terus berusaha meningkatkan kualiti produk makanan dan mendapat sijil seperti Sijil Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), halal dan lain-lain, ini akan memudahkan lagi FAMA mempromosikan produk mereka ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Industri Asas Tani (IAT) Selangor di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Ghariff berkata hasil promosi FAMA terhadap produkproduk SKU menerusi agro bazar dan Global Halal Hub di Singapura terbukti berjaya meningkatkan pulangan usahawan terbabit sehingga empat kali ganda.
“Kita pantau hasil pulangan produk melalui tempat penjualan. Ada produk di lokasi itu yang cuma meraih sekitar $3,000 sebelum promosi namun pulangannya meningkat sehingga $15,000 seminggu selepas promosi,” katanya.
Pada seminar itu, Abdul Ghariff turut menyampaikan bantuan ketuhar kepada 24 usahawan wanita muda terpilih bagi mereka mengembangkan perniagaan.
Malah, produk makanan mereka juga berpeluang untuk mendapat promosi FAMA di luar negara jika terbukti menepati piawaian yang ditetapkan. — Bernama