Anugerah Instafamous 2017 pertandingkan 17 kategori
Buat julung kalinya Malaysia mengiktiraf individu yang berpengaruh di media sosial menerusi Anugerah Instafamous 2017 yang berlangsung di Menara Suezcap, KL Gateway Mall, baru-baru ini.
Anugerah Instafamous 2017 yang dianjurkan hurr.tv dengan kerjasama GetCRAFT bertujuan menghargai individu media sosial yang memberi impak besar kepada industri sekaligus meraikan ulangtahun pertama laman atas talian itu.
Hurr.TV dalam kenyataan berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 1.5 juta undian secara atas talian berjaya diperoleh bagi 17 anugerah yang dipertandingkan sepanjang 30 hari yang berakhir ia dibuka kepada orang ramai.
Pada majlis yang dihoskan Aidid Marcello, aktres dan pengacara popular tv, Neelofa dinobatkan sebagai Instafamous Unggul, pengasas Fashion Valet Vivi Yusof (Anugerah Instafamous Inspirasi) dan pelakon dan pelawak Zizan (Instafamous Idola #MudahTerhibur).
Lain-lain termasuk pelakon Syafiq Kyle (Instafamous Adiwira), pelakon Alvin Chong (Instafamous Fenomena), pelakon Hannah Delisha (Instafamous Pujaan Hati), pelakon Elfira Loy (Anugerah Instafamous Versatil) dan penyanyi Ismail Izzani (Instafamous Paling Layan).
PERSEMBAHAN
Acara malam itu juga diserikan dengan persembahan daripada peserta Bakat Ohsem Malaysia, dan nyanyian daripada Amira Othman menerusi lagu ‘Hati-Hati’. Hurr.tv di bawah seliaan Pengarah Saluran, Datin Elaine Daly juga sempat meraikan ulang tahun pertama penubuhan TV digital berkenaan.
Program berkenaan juga dilihat sebagai medium bagi mengiktiraf pesonaliti hiburan yang menjadi ikon inspirasi kepada orang ramai menerusi paparan dedikasi dalam bidang yang diceburi mereka di sosial media, katanya.
“Hurr.tv merupakan laman atas talian yang menjadi platform pengguna untuk strim video dan mempunyai pelbagai pengisian program hit termasuk Jejak Terer, Depan Rumah Je, dan Bakat Ohsem Malaysia,” tambahnya. — Bernama