Akta AKSEM mampu kekang masalah penyeludupan, perkukuh kawalan sempadan
BUKIT KAYU HITAM: Penguatkuasaan Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) 2017 yang bermula semalam mampu membantu agensi itu menutup ruang untuk penyeludup dan penjenayah rentas sempadan melakukan aktiviti mereka sekali gus mengukuhkan kawalan sempadan negara.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, ia melalui peluasan kuasa AKSEM bagi melaksanakan kawalan di kawasan sempadan darat negara yang sering menjadi lokasi bagi penjenayah menjalankan aktiviti tidak sihat terutamanya penyeludupan.
“Selama ini, pintu keluar masuk ini yang turut mempunyai kawasan bebas cukai memberi banyak ruang untuk penjenayah dan penyeludup mengaut keuntungan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan penguatkuasaan akta tersebut yang bermula se- malam, berdasarkan subseksyen 1 (2) Akta AKSEM 2017 yang membolehkan AKSEM melaksanakan operasi sehingga ke sempadan darat negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurut kenyataan tersebut, agensi yang membentuk AKSEM melibatkan keanggotaan daripada lima agensi sedia ada iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Lembaga Kenaf Tembakau Negara.
Beliau yang juga anggota jawatankuasa peringkat tinggi mengenai Keselamatan dan Kawalan Sempadan Negara berkata, sebelum ini AKSEM tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan kesalahan selagi mereka tidak melepasi pemeriksaan Kastam dan Imigresen di pintu masuk negara.
“Bagaimanapun, melalui akta ini, AKSEM boleh melakukan pemeriksaaan sehingga ke garis kawasan sem- padan negara dan sekali gus boleh mengambil tindakan undang- undang terhadap penjenayah,” katanya.
Sementara itu, Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam ASP Mohd Khairi Abdullah yang menyambut baik penguatkuasaan akta baharu itu berkata pihaknya akan terus menjalankan kerja mereka seperti biasa dalam mengekang penyeludupan.
“Selain tugas AKSEM bukan sahaja tertumpu di pintu sempadan negara kerana jika kita mendapat maklumat terdapat aktiviti penyeludupan di tempat lain seperti barang penyeludupan berada di Alor Setar, kita juga boleh melakukan serbuan dan merampasnya.
AKSEM akan terus mencegah aktiviti penyeludupan ini di samping dalam masa sama menjalin kerjasama dengan agensi lain seperti Imigresen dan Kastam di mana apabila ada tangkapan membabitkan agensi terbabit, AKSEM akan menyerahkan kepada mereka untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — Bernama