Binasat catat untung sebelum cukai suku pertama sebanyak RM2.18 juta
KUALA LUMPUR: Binasat Communications Bhd, yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Jan ini, mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan perolehan, masing-masing sebanyak RM2.18 juta dan RM10.16 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 30 Sept, 2017.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu berkata tiada angka perbandingan bagi tahun sebelumnya kerana ini merupakan laporan kewangan interim pertama syarikat bagi keputusan terkumpul.
Mengenai masa depan, syarikat berharap untuk membina kemudahan ‘ teleport’ baharu serta meningkatkan operasi, perkhidmatan penyelenggaraan dan pemasangan optik fiber serta keupayaan pengoperasian.
“Kami juga mendapatkan peluang perniagaan di negaranegara ASEAN terutamanya Vietnam, Myanmar dan Laos.
“Sekiranya tiada perkara di luar jangka, kami mengunjur prestasi kewangan bagi tahun semasa akan memuaskan,” katanya.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Malaysian Issuing House Sdn Bhd berkata saham Binasat menerima menerima kadar lebihan langganan 34.23 kali bagi 13 juta saham yang diperuntukkan kepada langganan awam.
Terbitan awam itu melibatkan 85.98 juta saham termasuk 13 juta bagi orang awam Malaysia, 13 juta bagi pengarah dan kakitangan yang layak dan 59.98 juta diperuntukkan bagi tawaran saham persendirian.
Firma penerbit itu berkata tawaran Binasat bagi jualan 40 juta saham sedia ada akan juga diperuntukkan untuk permohonan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih. Kedua-dua harga terbitan dan harga tawaran adalah pada 46 sen sesaham. — Bernama