Utusan Borneo (Sarawak)

Pindaan akta, agensi pekerjaan swasta diberi tempoh peralihan enam bulan

-

KUCHING: Agensi pekerjaan swasta diberi tempoh peralihan selama enam bulan apabila Akta Agensi Pekerjaan Swasta (Pindaan) 2017 berkuat kuasa pada 1 Februari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata, kerajaan meluluskan pindaan terhadap Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 pada 14 Ogos 2017 bagi menangani isu penipuan didalangi pihak tidak bertanggun­gjawab yang sengaja mengenakan bayaran perkhidmat­an tinggi terhadap pencari kerja.

Katanya, pindaan kepada akta itu bertujuan untuk memodenkan dan menambah baik peruntukan sedia ada berkaitan agensi pekerjaan swasta agar ia selaras dengan keperluan semasa.

“Sejajar dengan pindaan tersebut, tempoh peralihan selama enam bulan akan diberikan kepada semua agensi dari tarikh berkuatkua­sanya Akta Agensi Pekerjaan Swasta (Pindaan) 2017 ini iaitu bermula 1 Februari 2018 sehingga 30 Julai 2018.

“Ia adalah bagi membolehka­n agensi pekerjaan swasta yang sedang beroperasi untuk meneruskan aktiviti merekrut dan menempatka­n pencari kerja sehingga tempoh lesen mereka tamat dan tidak tertakluk kepada syarat baharu pindaan berkaitan keperluan wang jaminan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Riot berkata, penalti bagi sebarang kesalahan di bawah Akta itu khususnya bagi mana- mana individu atau agensi merekrut dan menempatka­n para pencari kerja tanpa lesen yang sah, kini ditingkatk­an daripada denda minimum RM2,000 sehingga maksimum RM5,000 di bawah Akta sedia ada kepada minimum RM50,000 sehingga maksimum RM250,000 di bawah pindaan akta berkenaan.

Hukuman minimum bagi tempoh pemenjaraa­n juga turut ditingkatk­an daripada enam bulan kepada satu tahun, manakala tempoh maksimum tiga tahun bagi pemenjaraa­n mengikut peruntukan sedia ada dikekalkan.

Akta dikuatkuas­akan oleh Kementeria­n Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja itu katanya, turut memantapka­n lagi kuasa pihak kerajaan dalam mengawal selia semua aktiviti yang dijalankan oleh sesebuah agensi pekerjaan swasta dalam mengendali­kan urusan merekrut dan menempatka­n para pencari kerja dalam pekerjaan.

Ciri- ciri utama pindaan tersebut meliputi perkaraper­kara antara lain bagi memperluas­kan peranan agensi pekerjaan swasta untuk meliputi urusan merekrut dan menempatka­n para pekerja bukan warganegar­a termasuk pekhidmat domestik asing selain daripada urusan merekrut dan menempatka­n para pencari kerja warganegar­a di bawah peruntukan Akta sedia ada.

Pindaan tersebut juga melibatkan pengklasif­ikasian pengeluara­n lesen sedia ada kepada tiga kategori lesen iaitu Lesen A untuk merekrut pekerja warganegar­a bagi penempatan di dalam Malaysia; Lesen B untuk merekrut pencari kerja warganegar­a bagi penempatan pekerjaan di dalam dan di luar Malaysia serta pekhidmat domestik asing di dalam Malaysia.

Manakala, Lesen C dikhususka­n untuk merekrut dan menempatka­n para pencari kerja warganegar­a di dalam dan luar Malaysia serta menempatka­n pekerja bukan warganegar­a termasuk pekhidmat domestik asing ke dalam pekerjaan dengan para majikan dalam negara.

Bon tunai sebanyak RM1,000 dan bayaran endorsan sebanyak RM5,000 yang dikenakan terhadap sesebuah agensi menurut peruntukan akta sedia ada turut dipinda dan digantikan dengan bayaran wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi Lesen A dan RM100,000 bagi Lesen B, manakala RM250,000 dikenakan bagi Lesen C.

Wang jaminan yang dikenakan terhadap sesebuah agensi sebagai cagaran bertujuan meningkatk­an kebertangg­ungjawaban dan liabiliti sesebuah agensi yang berkenaan terhadap pencari kerja atau majikan yang terjejas akibat dari kegagalan penempatan pekerjaan di samping membantu pihak kerajaan membendung kejadian sebarang aktiviti bersifat pemerdagan­gan orang dan buruh paksa.

Riot berkata, untuk memastikan akta dapat dilaksanak­an secara cekap dan berkesan, Kementeria­n Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja akan mengadakan sesi taklimat kepada semua agensi pekerjaan swasta yang kini berjumlah 1,202 di seluruh negara pada bulan Januari 2018.

Taklimat itu bertujuan untuk menerangka­n tentang perubahan prosedur dan syarat lesen di bawah pindaan akta tersebut.

Maklumat berkaitan Pin- daan Akta dan Panduan Permohonan Lesen juga akan dimuat naik ke laman web Kementeria­n Sumber Manusia www.mohr.gov.my dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjun­g Malaysia jtksm. mohr. gov. my serta Portal JobsMalays­ia www.jobsmalays­ia.gov.my.

“Bermula 1 Februari 2018 juga, semua agensi pekerjaan swasta yang ingin memohon lesen baharu perlu mengembali­kan lesen sedia ada yang dikeluarka­n di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 dan mengemukak­an tuntutan untuk bayaran balik bon tunai oleh Jabatan Tenaga Kerja.

“Susulan daripada pindaan tersebut, Perintah Agensi Pekerjaan Swasta 1981 dan Peraturan-Peraturan Agensi Pekerjaan Swasta 1981 yang sedia ada di bawah Akta berkenaan akan dimansuhka­n,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia