Utusan Borneo (Sarawak)

Letupan bom militan Islam bunuh 4 polis di Kashmir India

-

SRINAGAR: Empat anggota polis maut semalam dalam letupan bom yang disyaki diledakkan oleh anggota militan Islam di Kashmir India, kata polis dan laporan, yang menandakan permulaan tahun baharu yang berdarah di lembah bergolak itu.

Mereka sedang meronda apabila alat letupan improvisas­i (IED) berkenaan meletup di Sopore, kira-kira 50 kilometer dari kota utama Srinagar.

“Letupan IED di Sopore. Empat anggota polis mati syahid,” kata polis Jammu dan Kashmir dalam Twitter.

Bom itu ditanam oleh anggota militan dekat sebuah kedai di tengah-tengah mogok yang dianjurkan oleh puak pemisah, kata Press Trust of India dan media tempatan lain.

Insiden terbaharu berlaku ketika keganasan meningkat di wilayah yang dituntut sepenuhnya oleh India dan Pakistan.

Pada minggu lepas, empat askar India maut dalam serangan oleh anggota militan bersenjata yang menyerbu sebuah kem separa tentera di luar Srinagar.

Kashmir dibahagi antara India dan Pakistan pada hujung penjajahan British ke atas benua kecil itu pada 1947.

Sejak 1989, kumpulan pemberonta­k telah menentang kira-kira setengah juta askar India yang dikerahkan ke wilayah tersebut, untuk menuntut kemerdekaa­n bagi bekas kerajaan Himalaya itu atau penggabung­an dengan negara jiran Pakistan.

Peperangan itu sudah mengorbank­an puluhan ribu orang, kebanyakan­nya orang awam.

Pada tahun lepas 206 orang yang disyaki anggota militan, 57 orang awam dan 78 kakitangan pasukan keselamata­n India terbunuh, menjadikan­nya tahun paling berdarah dalam tempoh sedekad.

New Delhi menuduh Pakistan menghantar puak militan ke seberang sempadan di Kashmir untuk melancarka­n serangan ke atas tentera India.

Islamabad menafikan dakwaan itu, dan berkata ia hanya memberi sokongan diplomatik dan moral sahaja kepada perjuangan Kashmir untuk hak menentukan nasib sendiri. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia