Semak semula aspek keselamatan di tapak pembinaan: NIOSH
KUALA LUMPUR: Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata para kontraktor perlu menyemak semula aspek keselamatan di tapak pembinaan masing-masing bagi memastikan ia selamat untuk pekerja dan orang awam berikutan banyak kemalangan dilaporkan sejak kebelakangan ini.
Sambil melahirkan rasa kesal dengan sesetengah kontraktor yang tidak melabur secukupnya dalam aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja berikutan faktor kos, beliau berkata kemalangan seumpama ini berlaku sehingga membawa kepada kecederaan atau kehilangan nyawa, dan ia bukan sahaja menyebabkan perintah memberhentikan kerja dikeluarkan namun ia juga menyakitkan dan membawa kesengsaraan, terutama kepada anggota keluarga yang terlibat.
“Para kontraktor perlu melaksanakan amalan OSH (keselamatan dan kesihatan pekerjaan) yang baik di tapak pembinaan masing-masing termasuk menerima pakai sistem pengenalpastian bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC).
Ini dapat membantu pekerja dan penyelia mereka untuk mengenal pasti bahaya dan risiko dan mencari jalan untuk mengelakkannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini. Kenyataan Lee itu merujuk kepada kemalangan yang menyebabkan seorang pekerja warga Bangladesh maut apabila sebahagian kecil lantai simen di bangunan pencawang masuk utama MRT Cochrane milik Tenaga Nasional Berhad, yang belum siap runtuh.
Statistik Pertubuhan Kes- elamatan Sosial ( Perkeso) menunjukkan 7,338 kes kemalangan dilaporkan dalam industri pembinaan pada 2016, berbanding 4,330 kes pada 2011, iaitu peningkatan 69.47 peratus.
“Berdasarkan rekod Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ( DOSH), 106 kematian dilaporkan dalam industri pembinaan tahun lepas berbanding 88 pada 2015. Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun lepas, 40 kematian sudahpun dilaporkan dalam sektor itu,” katanya.
Lee berkata Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ( OSHA) 1994 menyatakan bahawa latihan adalah mandatori dan usaha berterusan perlu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan para pekerja di tempat kerja, termasuk di tapak pembinaan. — Bernama