Utusan Borneo (Sarawak)

Pendirian Dr Mahathir tidak konsisten: Ahmad Zahid

-

BAGAN DATUK: Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang yang tidak konsisten pendiriann­ya selepas menyatakan keengganan­nya menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum ke14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Dr Mahathir membuat dakwaan menyatakan dirinya dipaksa menjadi perdana menteri hanya setelah terdapat komen-komen segelintir pihak selepas Pakatan Harapan menamakan beliau untuk jawatan itu.

“Beliau ( Dr M) ( sekejap) konsisten dan tidak konsisten. Apabila Pakatan Harapan mengumumka­nnya sebagai perdana menteri dan terdapat komen sebaliknya terhadap pencalonan beliau, maka beliau berkata beliau dipaksa.

“Saya tak nak masuk campur tentang parti orang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Permuafaka­tan Masjid, Surau dan Sekolah Agama Rakyat Daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak di sini, semalam.

Dr Mahathir dalam ucapannya di Johor Bahru barubaru ini menegaskan beliau tidak mahu menjadi perdana menteri, sebaliknya diminta untuk memegang jawatan itu sekiranya pembangkan­g memenangi PRU14.

Beliau mendakwa sebenarnya beliau mahu berehat, namun tidak dapat berbuat demikian sehingga hari ini sejak menyerahka­n jawatan itu kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ahad lepas, Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai calon perdana menteri jika pakatan itu memenangi PRU14, manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia