Utusan Borneo (Sarawak)

Label ‘Bagan Datuk Ori’ untuk produk keluaran Bagan Datuk: Ahmad Zahid

-

BAGAN DATUK: Semua produk yang dihasilkan dan dikeluarka­n di sini akan mempunyai label ‘ Bagan Datuk Ori’ dalam usaha mempopular­kan daerah itu kepada orang ramai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata usaha itu juga sebagai satu daripada langkah untuk mempromosi­kan produk keluaran Bagan Datuk ke peringkat antarabang­sa.

Katanya sebuah ruang niaga khas, khusus untuk memasarkan produk yang berkaitan akan diwujudkan di Dataran Bagan Datuk bagi menggalakk­an lagi usaha tersebut.

“Semua produk ini saya telah luluskan penjenamaa­nnya dan perlu letak label ‘Bagan Datuk Ori’ bagi membantu memasarkan produk Bagan Datuk supaya lebih dikenali,” katanya dalam ucapan semasa lawatan kerja ke kilang QL Foods Sdn Bhd di Hutan Melintang di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyambut baik hasrat syarikat berasaskan makanan laut itu untuk membesarka­n lagi operasi kilangnya sehingga 20.2 hektar.

Katanya syarikat tersebut yang mengeluark­an makanan sejuk beku hasil laut itu kini mempunyai 1,200 pekerja dengan 60 peratus daripadany­a pekerja tempatan.

“Sudah pasti jumlah pekerja akan bertambah dan akan memberi peluang kepada anak-anak Bagan Datuk untuk pulang bekerja di sini.

“Kita menggalakk­an automasi tetapi masih banyak lagi tenaga kerja yang diperlukan. Saya berharap kilang ini mengurangk­an lagi pekerja asing dan mengutamak­an pekerja tempatan pada masa depan,” katanya.

Ahmad Zahid turut berbangga dengan syarikat QL Foods kerana ia merupakan subsidiari QL Resources Bhd, sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“QL mempunyai urus niaga bernilai RM3.5 bilion. Saya juga difahamkan bahawa produk keluaran kilang ini bukan hanya untuk pasaran tempatan malah ia dieksport ke luar negara dengan nilai RM400 juta,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia