Utusan Borneo (Sarawak)

Ringgit dijangka terus meningkat: Johari

-

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus meningkat berbanding dolar AS berikutan prospek ekonomi negara yang positif, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau mengulas unjuran ahli ekonomi bahawa unit tempatan akan bergerak kepada nilai saksama antara 3.50 dan 3.70 berbanding dolar AS.

“Saya fikir terdapat banyak lagi ruang untuk penambahba­ikan. Kita mempunyai eksport dan pelaburan langsung asing yang kukuh, dengan harga minyak yang bertambah baik, serta pasaran modal kita.

“Semua prospek positif ini akan memberi manfaat kepada kita dari segi ekonomi dan juga mata wang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksika­n majlis menandatan­gani memorandum persefaham­an (MoU) mengenai pelaburan hartanah antara Titijaya Land Bhd (Titijaya) dan Tokyu Land Corporatio­n (TLC) di sini semalam.

Ringgit mengakhiri minggu ini dengan lebih kukuh berbanding dolar AS. Sehingga pada jam 6 petang Jumaat, ia diniagakan pada 3.9700/9730 berbanding 3.9950/9000 pada minggu sebelumnya.

Johari berkata trend semasa ringgit mencermink­an prospek ekonomi Malaysia yang positif dan ia boleh terus meningkat, selain membayangk­an ahli ekonomi mungkin silap, walaupun meletakkan had kepada pengukuhan­nya.

“Tiada siapa yang dapat ( dengan tepat) menjangka prestasi mata wang. Bagaimanap­un, apa yang perlu kita lihat adalah asas ekonomi negara ini. Prospek positif bagi 2018 tersedia bagi Malaysia.

“Kepada paras mana ringgit boleh terus meningkat, saya tidak boleh membuat spekulasi. Pasaran akan menentukan­nya. Ia boleh meningkat lagi. Negara perlu memastikan ia terus mempunyai persekitar­an ekonomi dan ekosistem serta kestabilan politik yang baik, berikutan ini antara faktor yang dilihat pelabur,” katanya.

Johari juga berkata eksport akan terus kompetitif walaupun ringgit kukuh dan dasar semasa Bank Negara Malaysia ke atas unit tempatan mencukupi dan amat jelas.

Beliau menolak tanggapan bahawa pengukuhan semasa ringgit mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum ke- 14 yang akan datang, menyatakan, tiada campur tangan kerajaan untuk memberi kesan kepada prestasi semasanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Johari berkata beliau berharap pakatan antara Titijaya dan TLC akan menandakan kesinambun­gan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Jepun selama 60 tahun.

Sehingga suku ketiga tahun lepas, Jepun menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia selepas China, Singapura dan Amerika Syarikat, dengan jumlah perdaganga­n sebanyak RM103.1 bilion. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia