Utusan Borneo (Sarawak)

Kemudahan taska, tadika di flat jika BN rampas Selangor: Noh

-

PETALING JAYA: Taska dan tadika akan ditempatka­n di setiap kediaman strata kos rendah dan sederhana rendah di Selangor jika Barisan Nasional (BN) berjaya mentadbir semula negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata ia bertujuan memberi kemudahan kepada generasi muda yang baharu berkahwin dan mempunyai anak yang masih kecil untuk menghantar anak mereka ke taska dan tadika di kawasan kediaman masing-masing.

“Kita akan selaraskan konsep seperti taska dan tadika oleh KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) yang disediakan di blok perumahan dan kosnya agak murah kerana ditanggung kerajaan,” katanya selepas melancarka­n Program Transforma­si Sosial Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di sini, semalam.

Terdahulu, Noh yang juga Menteri Kesejahter­aan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kementeria­nnya meluluskan peruntukan kira-kira RM6 juta bagi membaik pulih dan menyelengg­ara kemudahan perumahan di Mentari Court di sini yang didiami kira-kira 15,000 penduduk.

Turut diluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi memasang alat perangkap nyamuk yang menggunaka­n tenaga solar iaitu ‘Integrated Mosquito Management’ bagi menangani kes denggi di kawasan Lembah Klang terutamany­a di Selangor yang dikatakan merekodkan kes tertinggi.

Noh mendakwa kerajaan negeri Selangor dilihat masih gagal menangani kes denggi dan sehubungan itu kerajaan persekutua­n bersedia membantu.

“Pada dasarnya kerajaan telah bersetuju meluluskan RM10 juta tetapi pada peringkat pertama diberikan RM1 juta dahulu. Apabila melibatkan kesihatan, kita (kerajaan persekutua­n) bantu tidak pilih parti,”katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia