Program vaksin antirabies di Balai Raya Tondong
KUCHING: Program Pemvaksinan AntiRabies akan diadakan di Balai Raya Tondong pada Sabtu ini bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.
Justeru, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan media semalam mempelawa pemilik haiwan di kawasan sekitarnya membawa anjing belum divaksin.
Program kelolaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) itu antara usaha kerajaan mengekang wabak rabies yang menular di beberapa kawasan di negeri ini sejak pertengahan 2017.
Setakat ini 43,436 haiwan telah diberi suntikan vaksin dengan melibatkan 35,404 anjing, 7,987 kucing dan haiwan lain 45.
Juga setakat ini 77 haiwan juga didapati positif rabies dengan membabitkan 71 anjing.
Sepanjang tempoh ini juga, sebanyak 563 kempen kesedaran wabak rabies membabitkan 37,523 orang telah dilaksanakan.
“JPVS sentiasa mengingatkan semua pihak supaya mengelak haiwan kesayangan sama ada telah divaksin atau belum, bercampur dengan haiwan terbiar dan memerhati perubahan sikap haiwan tersebut daripada jinak kepada ganas, menggigit sebarang benda bergerak, hidrofobia terhadap air dan cahaya, menyendiri dengan air liur berlebihan dan kelihatan gelisah,” menurut kenyataan itu.
Haiwan yang menunjukkan tanda-tanda tersebut hendaklah dilaporkan kepada JPVS di talian 082-612949 atau 082611607 dengan segera.
Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam kenyataan yang sama melaporkan 31 kes gigitan haiwan dan penerima vaksin anti-rabies di enam bahagian — Kuching, Serian, Sarikei, Samarahan, Sri Aman dan Betong.
Laporan sama turut menyebut kumulatif gigitan haiwan sejak 1 April 2017 ialah 5,951 kes, manakala kumulatif telah menerima vaksin antirabies bagi tempoh sama ialah 2,346 orang.
Orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing diminta segera bertindak membuat pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat.
Orang ramai turut diingatkan sentiasa menghindarkan diri daripada gigitan haiwan terutama anjing.
Sekiranya digigit, langkah pencegahan segera perlu diambil dengan mencuci luka bahagian terkena gigitan menggunakan sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit, seterusnya mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan.