JomPAY mudahkan penyewa, pemilik bayar rumah Pembayaran lebih cepat, mudah dan selamat menerusi kemudahan atas talian yang dilancarkan HDC
KUCHING: Penyewa dan pemilik skim perumahan di bawah Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) diberi alternatif baharu yang lebih cepat, mudah dan selamat untuk membuat pembayaran melalui atas talian JomPAY yang dilancarkan semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif HDC Mohd Asman Ahmad berkata pihaknya akan memulakan projek perintis dengan pemilik dan penyewa rumah pangsa RPR Sri Makmur, Batu 6 Matang seramai 579 unit rumah daripada 720 unit semuanya.
“Pada fasa pertama ini, kita akan edarkan kad yang mempunyai maklumat butiran bagi membuat pembayaran menggunakan JomPAY melalui atas talian CIMB Clicks, mesin deposit tunai CIMB Bank atau menggunakan perkhidmatan perbankan MEPS.
“Manakala baki selebihnya pemilik unit rumah yang
Pada fasa pertama ini, kita akan edarkan kad yang mempunyai maklumat butiran bagi membuat pembayaran menggunakan JomPAY melalui atas talian CIMB Clicks, mesin deposit tunai CIMB Bank atau menggunakan perkhidmatan perbankan MEPS. Mohd Asman Ahmad Ketua Pegawai Eksekutif HDC
belum diberi kad berkenaan akan diberi selewatnya-lewatnya pada suku pertama tahun ini.
“Kaedah ini memberi pilihan kepada kebanyakan orang kerana berdasarkan statistik, kami yakin pembayaran akan meningkat.
“Tidak akan ada aduan lagi selepas ini tentang pembayaran lewat dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada dialog di antara HDC dan penduduk RPR Sri Makmur di sini semalam.
Pihaknya turut memohon agar para penyewa memberi maklum balas mengenai perkhidmatan yang baharu diperkenalkan itu dari semasa ke semasa bagi kerja penambahbaikan perkhidmatan.
Bagaimanapun, bagi mereka yang masih ingin membuat pembayaran di kaunter juga boleh berbuat demikian, tegasnya.
“Ia juga menyahut seruan ketua menteri untuk mentransformasikan ekonomi digital di sini.
“Melalui JomPAY juga seramai 47,000 pembeli dan penyewa daripada empat skim perumahan HDC di seluruh negeri akan mendapat manfaat daripadanya,” tambahnya.
Pihak HDC juga secara perlahan-lahan akan mulai menyediakan platform bagi pembeli dan penyewa membuat pembayaran atas talian melalui aplikasi Sarawak Pay yang akan diumumkan kemudian, ujar Asman.
Turut hadir bersama beliau adalah Pengerusi JKKK Taman Sri Makmur merangkap Pengerusi KRT Taman Sri Makmur Uwan Anjot, Ketua Bahagian Akaun dan Kewangan HDC Roziah Wahid dan wakil Bahagian Jualan dan Pengurusan Tunai CIMB Bank Damian Chua.