AFC B-23: Kim Swee akui skuadnya kekurangan konsentrasi
KUALA LUMPUR: Hasrat Malaysia untuk terus melakar kejutan pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) 2018 lebur selepas dikecewakan Korea Selatan 2-1 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Kunshan, China kelmarin.
Bagaimanapun, permainan dan semangat juang tinggi yang dipamerkan skuad ken- dalian Datuk Ong Kim Swee layak diberikan pujian terutama selepas berjaya bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi N.Thanabalan sebelum jaringan lewat Han SeungGyu mengesahkan kemenangan Korea Selatan.
Dalam perlawanan itu, Korea Selatan yang merupakan finalis edisi lepas hanya memerlukan 15 saat untuk membuka tirai jaringan menerusi Cho Jae-Wan yang bijak mencari ruang untuk melepaskan rembatan setelah pertahanan Matthew Davies gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.
Malaysia yang masih segar dengan kejayaan menewaskan Arab Saudi 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan C pada Selasa lepas, bagaimanapun tenang untuk kembali mengatur permainan dalam usaha mencari gol penyamaan.
Namun, Korea Selatan yang dibimbing Kim Bong-gil ternyata berada pada kelas tersendiri apabila berjaya mengekalkan disiplin bertahan untuk mengekang asakan skuad Malaysia sekali gus menjadikan kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung babak kedua, kemasukan penyerang gantian Thanabalan membuahkan hasil apabila hantaran Safawi Rasid bijak disambar pemain Negeri Sembilan itu untuk menanduk masuk gol penyamaan negara pada minit ke-67, sekali gus meletakkan kembali skuad kebangsaan pada landasan permainan.
Tersentak dengan gol penyamaan itu, Korea Selatan bangkit menggandakan asakan sebelum hampir menjaringkan gol kedua, namun ketangkasan serta keberanian penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli berjaya menyelamatkan dua percubaan berbahaya pada minit ke-76.
Berbaki lima minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat, Han Seung Gyu muncul wira Korea Selatan apabila menjaringkan gol kemenangan selepas menembusibentengpertahanan sebelum melepaskan rembatan menewaskan Muhammad Haziq. — Bernama