Nama mereka yang merupakan orang awam tertera pada plak baharu di Tugu Peringatan Petagas
KOTA KINABALU: Lapan orang awam, yang terkorban pada zaman penjajahan Jepun, semalam diberi penghormatan sebagai wira perang pada majlis memperingati mangsa perang di Tugu Peringatan Petagas dekat sini.
Malah, nama mereka turut tertera pada plak baharu yang diletakkan pada tugu itu bagi menggantikan plak yang lama.
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu ( DBKK) Datuk Joannes Solidau berkata DBKK telah mengambil inisiatif untuk mengkaji kesahihan lapan orang berkenaan setelah keluarga masing-masing memohon agar anggota keluarga mereka itu diiktiraf sebagai wira perang.
“Jika ada permintaan agar orang awam tertentu diberi penghormatan sebagai wira perang pada masa akan datang, kita akan pertim- bangkan.
Jika pihak DBKK mendapati orang awam berkenaan benar- benar telah menyumbang bakti ketika zaman perang, sudah pasti kami akan benarkan anggota keluarga untuk hadir dan meletakkan kalungan bunga pada majlis rasmi memperingati mangsa perang yang kita adakan setiap tahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.
Majlis itu, yang diadakan untuk kali ke-69, dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Joannes berkata permintaan keluarga mangsa perang itu menandakan kesedaran orang ramai mengenai signifikan tugu peringatan itu didirikan, sekali gus mendorong lebih ramai untuk melawat dan mempelajari mengenai sumbangan orang awam terhadap pembebasan Sabah daripada cengkaman penjajah.
Lapan orang itu, yang merupakan anggota Gerila Kinabalu pimpinan Albert Kwok untuk menentang penjajahan tentera Jepun pada 1942-1945, ialah Lothar Wong Manjaji, Vitalianus Joseph Lim @ Ubing, Chong Pin Sin dan Simon Thien.
Empat lagi ialah Paul Lee Fook Onn @ Paul Lee Onn, Bung Ah Tee @ Stephen Pan Tet Liong, Lim Hock Beng dan Mohinder Singh.
Mereka ditahan oleh tentera Jepun antara 12 Jun dan awal Julai 1945 atas arahan ‘senjo’ atau ‘penghapusan’ ke atas mereka dan dibunuh tanpa keadilan.
Monica Lim, 90, dari Kampung Limbahau, Papar berkata beliau berumur belasan tahun ketika bapanya Vitalianus Joseph terkorban, namun jasadnya bersama jasad Lothar dan Paul Lee, tidak ditemukan sehingga ke hari ini.
“Sekarang kami sudah ada tempat untuk ‘bertemu’ dengan bapa kami iaitu di sini (Tugu Peringatan Petagas.
“Semasa perang Jepun itu, yang saya ingat, bapa kami pergi ke Jesselton (kini Kota Kinabalu) dan kami di kampung. Saya tidak tahu apa tujuan bapa ke Jesselton masa itu,” katanya, sambil menambah beliau akan tetap mengenangkan sikap peramah bapanya kepada semua orang ketika hayatnya.
Monica berkata bapanya mempunyai lapan anak, yang mana tiga, termasuk dirinya masih hidup.
Beliau ditemani adik perempuannya Justina, 73, dan 58 anggota keluarga ke majlis itu di mana Monica mewakili keluarganya meletakkan karangan bunga sempena memperingati bapanya.
Dymphna (sebutan: Demna) Ubing, 53, cucu Vitalianus Joseph, berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah atas penghargaan dan penghormatan perwiraan datuknya itu.
“Hanya melalui majlis ini, saya kini tahu datuk saya dibunuh dengan cara yang menyalahi undangundang. Jadi, kami bersyukur akhirnya tindakan beraninya diiktiraf dan dihargai rakyat Sabah,” katanya.
Bagi Kahan Singh pula, sepupunya Mohinder dipercayai berumur 18 atau 19 tahun ketika dibunuh.
Katanya, biarpun keluarganya sedih dengan kematian Mohinder pada usia muda, namun berasa bersyukur atas penghormatan DBKK untuk mengukir namanya pada tugu peringatan tersebut.
Pada 21 Jan 1944, seramai 176 anggota gerila itu dibunuh beramai-ramai oleh tentera Jepun dan dikebumikan di Petagas, yang kini menjadi tapak tugu peringatan itu.
Setelah peperangan tamat, anggota gerila yang masih hidup memutuskan anggota gerila seramai 96 yang dibunuh di sebuah penjara dikenali sebagai ‘Batu Tiga’ dan 117 yang maut ketika dikurung di Labuan dikebumikan bersama yang lain di Petagas. — Bernama