RTM boleh menjadi ejen untuk memperluaskan produk pelancongan dan alam semula jadi kepada masyarakat luar: Lee
MIRI: Radio Televisyen Malaysia (RTM) diseru mengukuhkan kolaboratif dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk memantapkan sektor pelancongan negeri ini.
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, RTM boleh menjadi ejen untuk memperluaskan produk pelancongan Sarawak.
“Sarawak memiliki banyak produk pelancongan yang perlu dipromosi serta diketengahkan kepada masyarakat luar agar mereka berminat seterusnya datang ke sini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan dan Perpindahan Pegawai selepas menjadi tetamu program rakaman Tahun Baharu Cina (TBC) Seksyen Cina Mirifm di RTM Miri, semalam.
Malah, Lee berkata Miri mempunyai banyak destinasi dan tempat menarik untuk dikunjungi dan dipromosikan kepada pelancong luar.
Selain penganjuran pelbagai acara hiburan berprestij di bandar raya Miri seperti Festival Borneo Jazz Antarabangsa dan Miri Country Music Festival, Miri popular dengan produk pelancongan berasaskan alam semula jadi termasuk tamantaman negaranya.
Ia melibatkan Taman Negara Niah, Taman Negara Lambir, Taman Negara Mulu, Taman Negara Loagan Bunut, Taman Negara Terumbu Karang Miri Sibuti, Taman Rizab Semula Jadi Piasau, Muzium Petroleum serta Taman Buaya Kuala Baram.
Selain itu katanya, kehijauan dan keindahan pantai di Miri juga mampu menggamit pelancong dalam dan luar negara.
“Kita mempunyai deretan pantai yang cantik seperti Pantai Bungai, Pantai Tusan, Pantai Luak Bay Esplanade, Pantai Tanjung Lobang dan Pantai Peliau Sibuti.
“Pada masa sama, pembangunan Beach Republic Miri dan Marina Bay turut mengindahkan lagi landskap pantai di sini,” jelasnya.
Lee menambah, Miri juga mempunyai destinasi pelancongan di kawasan pedalaman seperti Tanah Tinggi Bario, Ba’ Kelalan dan Telang Usan, Baram.
Terdahulu dalam temu bual sempena TBC 2018, Lee menyeru masyarakat agar terus bersatu padu dan hidup makmur untuk kesejahteraan dan manfaat semua.
Hadir sama Pengurus Stesen RTM Miri Zaidi Bujang, Ketua Bahagian Rancangan Dayang Fatimah Awang Lai dan kakitangan RTM Miri.