Rejim Israel sasar kedudukan Iran dalam Syria
BAITULMAQDIS: Rejim Israel menyerang apa yang ia sebut sebagai kedudukan Iran dalam Syria kelmarin dalam serangan berskala besar selepas salah sebuah jet pejuangnya terhempas akibat disasari pertahanan udara Syria.
Ekoran konfrontasi paling serius di antara dua musuh ketat rejim Israel dan Iran sejak perang saudara bermula di Syria pada 2011, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar untuk menghalang Tehran daripada meletakkan tentera yang boleh menjadi ancaman di negara Arab tersebut.
Serangan Israel berlaku selepas ia memintas dron Iran yang didakwa memasuki ruang udaranya dari Syria, dan menyifatkannya sebagai satu serangan.
Washington menyokong Israel dan menyalahkan Iran bagi ketegangan yang semakin meruncing.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB) Antonio Guterres menuntut keganasan dihentikan serta-merta tanpa syarat di Syria, jurucakap PBB Stephane Dujarric menyebut dalam satu kenyataan.
Ini kali pertama Israel secara terbuka mengakui menyasari apa yang didakwanya sebagai kedudukan Iran di Syria sejak konflik bermula.
Iran mengecam kenyataan rejim Israel sebagai pembohongan semata-mata dan menegaskan Syria berhak untuk mempertahankan diri daripada serangan.
Dalam perkembangan berasingan, Iran mengeluarkan kenyataan bersama sekutu utama lain Syria, Rusia dan kumpulan Hizbullah Lubnan, yang menafikan dakwaan dron oleh Israel.
Kementerian luar Rusia menggesa semua pihak bersabar, dan menambah perbuatan rejim Israel yang mengancam nyawa dan keselamatan askar Rusia di Syria sama sekali tidak dapat diterima.
Jurucakap tentera Israel Jonathan Conricus, memberi amaran bahawa Syria dan Iran bermain api, tetapi menegaskan rejim tidak mahu memburukkan keadaan.
“Ini adalah pencabulan paling ketara dan serius oleh Iran ke atas ‘ kedaulatan’ Israel sejak beberapa tahun lalu,” kata Conricus kepada wartawan.
Israel berkata, tindak balasnya adalah serangan berskala besar ke atas sistem pertahanan udara Syria dan sasaran Iran.
“Dua belas sasaran, termasuk tiga bateri pertahanan udara dan empat sasaran Iran yang merupakan sebahagian angkatan tentera Iran di Syria, diserang,” satu kenyataan tentera menyebut.
Dua kru pesawat F16 yang terhempas masih hidup selepas melentingkan diri dari pesawat, tetapi seorang daripadanya mengalami kecederaan parah, kata tentera.
Mereka mendarat di Tel Aviv dan dibawa ke hospital.
Israel berkata, konfrontasi bermula selepas dron memasuki ruang udaranya sebelum dipintas sebuah helikopter.
Conricus berkata, ia dipintas jauh di dalam Tel Aviv ke utara kota Beit Shean, dekat sempadan Jordan.
Beliau tidak menyebut sama ada dron itu dilengkapi senjata, tetapi mendakwa ia sedang menjalankan misi ketenteraan yang dihantar angkatan tentera Iran dari pangkalan Iran dalam kawasan Palmyra.
Sebanyak lapan jet pejuang Israel kemudian menyasari sistem kawalan Iran di Syria yang menghantar UAV (dron) itu dan mengesahkan serangan, kata Conricus.
Beliau berkata, jet pejuang tersebut disambut serangan antiudara besar-besaran Syr- ia, sebelum F16 itu kemudian terjatuh di lembah Jezreel, utara Tel Aviv.
Damsyik berkata, tentera udaranya menangkis dua serangan Israel ke atas pangkalan tenteranya di tengah Syria, dan sebuah pesawat perang terkena tembakan dalam serangan pertama Israel.
Observatori Hak Asasi Manusia Syria, badan pemantau yang berpangkalan di Britain, mendakwa Israel menyasari beberapa pangkalan di timur wilayah tengah Homs.
Ia berkata, pangkalan tersebut digunakan askar Iran dan Rusia yang dikerahkan untuk menyokong rejim.
Jurucakap kementerian luar Iran Bahram Ghasemi menuduh Israel berbohong.
“Iran tidak ada tentera di Syria, dan hanya menghantar penasihat tentera atas permintaan kerajaan Syria,” katanya.
Kenyataan Iran, Rusia dan Hizbullah menepis dakwaan dron oleh Israel sebagai pembohongan semata-mata.
Ia berkata Israel menyasari dron yang digunakan ke atas organisasi pengganas, terutamanya kumpulan Islamic State (IS).
Hizbullah dalam satu kenyataan berasingan mendakwa kejatuhan pesawat F16 menandakan permulaan era strategi baharu.
Duta Israel ke PBB Danny Danon menyeru kepada Majlis Keselamatan untuk mengecam tindakan bahaya ini dan menamatkan segera provokasi Iran. — AFP