PTKL dijangka diniagakan lengang
KUALA LUMPUR: Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) dijangka mencatatkan dagangan lengang dan cenderung berada dalam aliran menurun pada minggu ini, kata seorang peniaga.
Beliau berkata bagi minggu yang baharu berakhir ini komoditi itu mencatatkan prestasi bercampur-campur.
“Harga berada dalam aliran meningkat sejak 5 Jan tahun ini, sebelum menurun ke arah penghujung minggu ini (minggu lepas) berikutan pembetulan teknikal selepas ia mencecah paras AS$21,780 (AS$1 = RM3.93) setan metrik pada Rabu,” katanya.
Peniaga itu berkata PTKL dijangka lengang minggu ini menjelang perayaan Tahun Baharu Cina apabila para peniaga mungkin tidak memasuki pasaran dengan dagangan dijangkakan antara paras AS$21,400 dan AS$21,600.
“Harga dijangka melantun sedikit pada awal minggu ini sebelum cenderung menurun.
“Timah juga akan dijangka mencatatkan prestasi yang sama dengan komoditi berasaskan logam lain di Bursa Logam London (LME) seperti tembaga, zink dan aluminium apabila hargaharga logam perindustrian itu dijangka terus susut dalam keadaan kekukuhan dolar AS, sentimen pasaran negatif dan lebihan bekalan,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga di PTKL meningkat sebanyak AS$ 50 kepada AS$21,500 setan metrik daripada AS$21,450 setan metrik pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, di LME, logam itu jatuh sebanyak AS$625 untuk ditutup kepada AS$21,325 setan metrik daripada AS$21,950 setan metrik sebelumnya.
Jumlah dagangan minggu lepas meningkat kepada 274 tan metrik daripada 137 tan metrik.
Perbezaan harga antara PTKL dengan LME berada pada premium AS$ 175 setan metrik daripada diskaun AS$500 setan metrik pada minggu sebelumnya. — Bernama