Salimey mahu lagu ‘Pertama Kali’ melekat dalam ingatan peminat
Salimey Abu Bakar, suara di sebalik lagu ‘Pertama Kali’ mahu lagu hasil ciptaan Fauzi Aisunam ini kekal di dalam ingatan para peminat muzik di Malaysia.
Lagu yang pernah menjadi runut bunyi kepada beberapa buah drama seperti ‘Seharum Mawar’, ‘Pengemis Itu Saudara Aku’, ‘Airmata Di Bumi Matador’ dan ‘Ustaz Pink’ mendapat sentuhan lirik daripada Salimey sendiri bersama Lieynur Liey, Yusri Ishak, Fauzi Aisunam.
“’Pertama Kali’ membuka jalan bagi saya untuk tampil sebagai pendatang baharu dalam industri hiburan tanah air dan peluang diberikan oleh Fauzi Aisunam yang percaya kepada kebolehan saya untuk menyanyi.
“Walaupun latar belakang saya 15 tahun lepas adalah sebagai seorang Pegawai Perhubungan Awam (PR) di syarikat Zanzibar Records dan kemudiannya menjadi jurufoto majalah hiburan, ramai yang memberi katakata semangat untuk saya merealisasikan citacita untuk menjadi penyanyi,” kata penyanyi itu dalam satu kenyataan.
Penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu terut bersyukur yang ‘Pertama Kali’ sering kali dimainkan di stesen radio pantai timur mendapat sambutan yang baik daripada para pendengar.
Menceritakan tentang kisah perjalanan ‘Pertama Kali’, Salimey berkata ia mengambil masa yang agak lama untuk dirakamkan atas sebab kewangan namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan citacita lebih-lebih lagi apabila mendapat sokongan moral daripada rakan-rakan sekeliling.
Melangkah setapak lagi, Salimey baharu selesai menjalani penggambaran video muzik ‘Pertama Kali’ arahan Kas Roshan.
“Penggambaran klip video ‘Pertama Kali’ bermula di Pulau Langkawi dan penyudah penggambarannya dibuat di Petaling Jaya, Selangor.
“Untuk jalan cerita klip video Pertama Kali, saya mahukan sesuatu yang di luar kotak. Bukan biasa-biasa dan bukan keterbiasaan,” katanya.
Untuk tahun 2018 ini, Salimey berusaha gigih untuk mengotakan janji dan cita-citanya untuk berjaya dalam bidang seni suara dan sekaligus dikenali oleh peminat.
— Bernama