Utusan Borneo (Sarawak)

Banduan kena dua bulan, denda kerana dadah

-

MIRI: Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM2,700 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan menggunaka­n dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Mahkamah turut memerintah­kan tertuduh menjalani pengawasan pihak polis selama tempoh tiga tahun setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Stanley Yong Eng Wui, 26, dari Lorong 2, Krokop di sini menghadapi dua tuduhan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendak­i menjalani pengawasan oleh pegawai yang ditakrifka­n di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952 bagi setiap tuduhan dihadapiny­a.

Berdasarka­n kes pertama, tertuduh didakwa menggunaka­n dadah berbahaya jenis Amphetamin­e dan Methamphet­amine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.05 pagi 21 Oktober, 2016 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Manakala dalam kes kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa dengan memasukkan dadah jenis sama ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 10.30 pagi, 22 Januari 2016 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa kes ditetapkan untuk pengurusan kes semalam setelah tertuduh mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan itu semasa sebutan pertama kes pada 13 Februari lalu.

Namun tertuduh memberitah­u bahawa dia berhasrat menukar pengakuann­ya kepada bersalah.

Bagi kes pertama, tertuduh didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara dan kesalahan kedua dijatuhi hukuman penjara empat bulan berkuat kuasa mulai tarikh jatuh hukuman semalam.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia