Kerajaan turut menitikberatkan kekayaan budaya
Ia sebagai asas untuk pertahan keharmonian di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini: Abang Johari
KUCHING: Sambil menekankan kepada ekonomi digital, kerajaan negeri juga menitikberatkan kekayaan budaya sebagai asas untuk mempertahankan keharmonian kaum di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata di samping mencerminkan identiti budaya, aspek tersebut juga dapat memberi perhubungan yang erat dan mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Kalau kita punya asas keharmonian ini, kita dapat bergerak kepada dasar yang dapat memberi kesan kepada masyarakat keseluruhannya.
“Kerajaan pimpinan saya akan menekankan kepada kedua-dua aspek ini kerana banyak wang sekalipun tetapi tanpa budaya, tidak melambangkan kekayaan dan kalau banyak budaya tetapi tidak ada wang pun kita tidak dapat mengembangkannya.
Kalau kita punya asas keharmonian ini, kita dapat bergerak kepada dasar yang dapat memberi kesan kepada masyarakat keseluruhannya. Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg Ketua Menteri
“Jadi dua aspek ini hendaklah kita beri penekanan kerana negeri kita mesti hidup dengan pengaruh yang lepas dan juga pengaruh yang kini, yang boleh kita gunakan untuk masa depan dan akhirnya dapat kita mempertahankan identiti bangsa kita,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Kongres Seni Sarawak 2018 yang julung kali diadakan di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBS) Datuk Abdul Adzis Abas.
Justeru, Abang Johari berkata antara inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk terus menghidupkan kebudayaan dan kesenian Sarawak adalah dengan menubuhkan Pusat Persembahan Seni.
Katanya, pada masa ini konsultan sudah dilantik untuk penubuhan pusat kegiatan kebudayaan dan kesenian itu, yang akan menggunakan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di Petra Jaya.
“Kita akan tukarkan DUN lama kepada Pusat Persembahan Seni walaupun dengan peruntukan yang agak besar, kerana kita mahu hidupkan budaya kita,” katanya.