Utusan Borneo (Sarawak)

Eksploitas­i kanak-kanak: Suami isteri dihukum penjara 15 bulan, denda RM28,000

-

IPOH: Sepasang suami isteri masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan denda RM28,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah terhadap 28 pertuduhan menggunaka­n 19 kanak-kanak dan remaja bagi tujuan mengemis di beberapa lokasi sejak 2016.

Muslim Ab Karim, 67, dan Zaleha Mohamad, 55, yang ditangkap pada 7 Mei tahun lepas, berdepan hukuman penjara sebulan bagi setiap pertuduhan (berjumlah 28 bulan penjara) jika masing-masing gagal membayar denda itu.

Hakim Murtazadi Amran turut menjatuhka­n hukuman menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam terhadap pasangan suami isteri itu.

Dalam penghakima­nnya, beliau berkata hukuman terhadap kedua-dua tertuduh itu bertujuan memberi gambaran kepada pesalah-pesalah lain bahawa mahkamah tidak teragak-agak menjatuhka­n hukuman yang lebih berat.

”Walaupun saya percaya mungkin ada tujuan baik dalam melaksanak­an tugasan, tetapi apa yang dilakukan ini tidak menghalalk­an cara dan undang-undang sedia ada perlulah dipatuhi.

“Hukuman ini dijatuhkan bukan sahaja untuk memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi boleh diuar-uarkan kepada orang di luar agar tidak melakukan perkara yang sama,” katanya.

Hakim Murtazadi berkata pindaan undang-undang membabitka­n kanak-kanak menunjukka­n betapa seriusnya kesalahan itu dan ia bertujuan melindungi kanakkanak daripada dieksploit­asi oleh pihak yang mengambil kesempatan.

Mengikut pertuduhan, Muslim dan Zaleha dengan niat bersama- sama telah menyebabka­n 19 kanakkanak dan remaja iaitu tujuh lelaki dan 12 perempuan yang berumur antara 11 hingga 17 tahun untuk menerima sedekah dengan menawarkan jualan ubat herba gel dan kalendar.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar kawasan Persiaran Greentown 6, Greentown Business Centre, di sini pada 8 malam, 7 Okt 2016 dan di sekitar kawasan CIMB Bank Taiping, Jalan Panggung Wayang serta Maybank, Jalan Medan Saujana 1, Kamunting, Taiping, pada 1.45 pagi, 8 Okt 2016.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan itu hadapan CIMB Bank Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang pada 8.30 malam dan di hadapan Kemaman Kopitiam, Kuantan Pahang, pada 11 malam, 9 Nov 2016 serta di hadapan sekitar kawasan Bank Islam, Jalan Mahmood, Kota Bharu, Kelantan pada 11.35 hingga 12.45 malam, 13 dan 14 Mac tahun lepas.

Ketika itu, Muslim yang juga bekas guru, merupakan Pengerusi Pusat Latihan Amal Bestari yang berpusat di Yan, Kedah manakala Zaleha merupakan bendahari pusat tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia