Utusan Borneo (Sarawak)

Sindiket curi, lerai dan eksport komponen lori tumpas

-

PELABUHAN KLANG: Seorang lelaki warga Mesir merupakan antara lima anggota sindiket ‘Botak Siva’ yang ditahan polis Selangor sejak bulan lepas, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lori, melerai dan mengekspor­t komponen kenderaan itu ke luar negara, melibatkan nilai rampasan kira-kira RM2 juta.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata lelaki Mesir berusia 30-an itu ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 24 Jan lepas, selepas disyaki bertindak sebagai orang tengah untuk menjalanka­n urusan jual beli alat ganti dan komponen lori daripada sindiket berkenaan.

Selain suspek terbabit, turut ditahan empat lagi suspek lelaki termasuk dalang sindiket berusia antara 33 dan 44 tahun di sekitar Klang dan Port Dickson, Negeri Sembilan, antara 23 Jan dan 13 Feb lepas.

“Dalang sindiket ini ditahan ketika serbuan pihak Polis Daerah Klang Selatan di sebuah gudang tidak bernombor di Taman Johan Setia, Klang pada 23 Jan lepas, bersama seorang lelaki Bangladesh yang ketika itu sedang meleraikan komponen lori dipercayai dicuri.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan sebuah kontena mengandung­i ratusan komponen lori yang telah dileraikan di pelabuhan Singapura dengan bantuan pasukan polis Singapura dan Interpol. Kontena tersebut kemudian dibawa balik ke Pelabuhan Klang untuk pemeriksaa­n,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata antara komponen yang ditemui dalam kontena itu adalah 13 buah enjin lori, enam buah tabung ekzos lori, 49 batang ‘absorber’ hadapan lori, 22 pintu lori, 27 batang ‘driveshaft’ lori dan 14 stereng lori, kesemuanya bernilai kira-kira RM2 juta.

Menurut beliau, hasil soal siasat, sindiket terbabit dipercayai telah bergerak aktif sejak 2015 dan modus operandi yang digunakan adalah dengan mencuri lori menggunaka­n ‘jammer’.

“Setiap lori mempunyai ‘remote’ dan bila sindiket ini gunakan ‘jammer’ alat ini boleh mengganggu frekuensi remote dan memudahkan pintu lori dibuka dengan mudah,” katanya. — Bernama KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Filipina yang dipercayai pernah terlibat dalam beberapa siri latihan ala tentera di salah sebuah kem di selatan Filipina antara 11 individu yang ditahan di Sabah dan Singapura kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata lelaki itu ditahan di Sandakan, Sabah bersama empat individu lain masingmasi­ng dua warga tempatan dan Filipina dalam tangkapan yang dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman pada 25 dan 26 Jan lepas.

Menurutnya, lelaki berusia 39 tahun itu pernah berbai’ah taat setia di hadapan pemimpin kanan kumpulan pengganas di selatan Filipina pada 2000.

“Suspek juga menerima arahan daripada seorang pemimpin kanan kumpulan pengganas Daesh di selatan Filipina untuk menguruska­n kemasukan beberapa anggota pengganas Daesh dari Sandakan ke negara itu untuk menyertai kumpulan pengganas di Zamboanga, selatan Filipina,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, empat lagi suspek berusia antara 33 hingga 50 tahun yang ditahan bertanggun­gjawab dalam membantu suspek pertama dalam menguruska­n kemasukan anggota pengganas asing ke selatan Filipina dengan menjadikan Sandakan sebagai transit.

Menurutnya, dua daripada lima suspek berkenaan bekerja sebagai buruh manakala seorang pengurup wang tidak berlesen, seorang pemandu bot penumpang dan penganggur.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata tiga lelaki warga Filipina dan seorang wanita tempatan ditahan di Penampang, Sabah pada 4 Feb lepas.

“Kesemua suspek berusia antara 27 hingga 32 tahun dan bekerja sebagai tukang kebun, buruh, pegawai keselamata­n sebuah syarikat swasta dan seorang penganggur,” katanya.

Menurutnya, suspek lelaki yang berusia 27 tahun merupakan anggota kanan kepada pemimpin Abu Sayyaf Group (ASG) yang berpangkal­an di Basilan, selatan Filipina.

Manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 32 tahun dipercayai terlibat mengatur kemasukan seorang warga asing ke selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas Daesh, katanya.

Susulan itu, pada 6 Feb lepas satu operasi telah dilancarka­n di Sandakan, Sabah dan membawa penahanan kepada seorang lelaki warga Filipina yang mempunyai taraf pemastauti­n tetap Malaysia, suspek bekerja sebagai pemandu teksi dan berusia 49 tahun. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? SINDIKET TUMPAS: Mazlan (tengah) melihat komponen lori yang dicuri untuk dieksport ke Timur Tengah pada sidang akhbar mengenai sindiket leraikan lori di Bilik Mesyuarat Polis Bantuan Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang, semalam. Polis merampas komponen...
— Gambar Bernama SINDIKET TUMPAS: Mazlan (tengah) melihat komponen lori yang dicuri untuk dieksport ke Timur Tengah pada sidang akhbar mengenai sindiket leraikan lori di Bilik Mesyuarat Polis Bantuan Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang, semalam. Polis merampas komponen...

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia