Utusan Borneo (Sarawak)

Pampasan RM63,900 untuk keluarga Adelina dibayar 13 Februari lepas: Duta

-

JAKARTA: Pampasan dan tunggakan gaji berjumlah RM63,900 telah dibayar kepada keluarga Adelina Lisao, pembantu rumah warga Indonesia yang mati didakwa akibat didera.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata bayaran itu meliputi tunggakan gaji dari Jan 2015 hingga Februari 2018, berjumlah RM35,900 dan selebihnya pampasan untuk keluargany­a termasuk kos penghantar­an jenazah dan pengebumia­n.

“Bayaran itu telah dibuat pada 13 Feb lepas kepada Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang,” kata Zahrain kepada pemberita di sini semalam.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan keluarga wanita itu mahukan pampasan serta tunggakan gaji selama tiga tahun yang tidak dibayar majikannya.

“Kes kematian Adelina adalah satu kejadian yang amat menyayat hati, saya berasa kesal kerana ia berlaku di Malaysia,” kata Zahrain.

Pada 10 Februari lepas, Adelina, 28, ditemui dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan lebam di kepala, tangan dan kaki akibat didera di sebuah rumah di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Adelina meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Bukit Mertajam.

Jenazahnya telah dihantar dan selamat dikebumika­n di provinsi Nusa Tenggara Timur pada 19 Februari.

Bercakap kepada media yang dihadiri ramai wartawan Indonesia semalam, Zahrain berkata Malaysia tidak akan berkomprom­i terhadap mereka yang didapati bersalah dalam kes berkenaan.

Sementara itu, di Bukit Mertajam, seorang wanita warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan membunuh Adelina.

M. A. Ambika, 60, didakwa membunuh dengan menyebabka­n kematian Adelina di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Taman Kota Permai 2, di Bukit Mertajam pada jam 4 petang, 10 Feb lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada warga emas berkenaan, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapny­a dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Anas Mahadzir.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Hamzah Azhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia