Mueller menyinar ketika bantu Bayern membelasah Besiktas 5-0 di Munich
MUNICH, Jerman: Thomas Mueller dan Robert Lewandowski masing-masing menjaringkan dua gol ketika Bayern Munich membelasah Besiktas 5-0 pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Selasa lepas.
Malapetaka melanda Besiktas seawal minit ke-16 pada perlawanan di Allianz Arena di Munich apabila Domagoj Vida dibuang padang kerana menjatuhkan Lewandowski ketika mempunyai peluang menjaringkan gol.
Besiktas bagaimanapun mengekalkan kedudukan beberapa minit sebelum rehat apabila Mueller membuka jaringan dengan rembatan jarak dekat.
Namun Munich berpesta gol selepas rehat dengan Kingsley Coman menambah jaringan sebelum Mueller menjaringkan gol kedua peribadinya.
Bayern menjaringkan gol keempat pada minit ke-79 apabila Lewandowski merembat bola muntah selepas rembatan jarak jauh Mats Hummels gagal ditepis kemas penjaga gol Besiktas.
Mueller kemudian mengumpan bola untuk gol terakhir perlawanan dan kedua peribadi buat Lewandowski pada minit akhir.
“Apa yang paling penting ialah mendapatkan keputusan yang baik dan kad merah ada membantu, walaupun jika kami gagal mengambil sepenuh peluang dalam separuh masa pertama,” kata Mueller ketika pasukannya mencipta kemenangan ke-14 berturutturut.
“Ia berubah – dalam separuh masa kedua, kami lebih agresif melakukan serangan dan mengambil sepenuh peluang dengan kelebihan seorang pemain.”
Besiktas, yang membuat penampilan sulung di pusingan kedua Liga Juara-Juara, menghadapi misi mustahil pada perlawanan kedua di Istanbul, 14 Mac depan, jika mahu meneruskan kemaraan.
Bayern memulakan permainan dengan memberangsangkan apabila rembatan Comen ditepis penjaga gol Besiktas, Fabri, seawal minit kesembilan dan satu tendangan percuma Joshua Kimmich gagal ditanduk kemas Arturo Vidal ke pintu gol.
Tetapi Besiktas harus menyalahkan diri mereka sendiri di atas kekalahan ini selepas tolakan lemah kapten pasukan, Atiba Hutchinson dirampas Lewandowski, yang kemudian dijatuhkan oleh Vida ketika menghampiri pintu gol.
Tetapi walaupun penyingkiran Vida, Bayern tetap bergelut mencari ruang di benteng pertahanan Besiktas, diketuai Pepe.
Juara Liga Turki itu mencipta beberapa peluang mereka sendiri dengan Ricardo Quaresma berjaya melepasi kawalan Hummels tetapi rembatan penyudah beliau tersasar, sama seperti satu cubaan Pepe selepas itu.
Bayern memecah kebuntuan apabila hantaran lintang Coman disempurnakan Mueller pada minit ke-43.
Bayern meningkatkan permainan selepas rehat dan dengan James Rodriguez dikeluarkan kerana kecederaan dan diganti Arjen Robben, Mueller bertukar ke posisi penyerang tengah.
Ia kelihatan memberikan banyak ruang buat Mueller dan rakan penyerang, Lewandowski untuk menguasai pertahanan Besiktas selepas Coman menjaringkan gol kedua pada minit ke-52. — AFP